Jerebu: Kerajaan nilai semula lokasi, skala sambutan Hari Kebangsaan

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 26 Ogos – Keputusan mengenai skala dan lokasi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026, termasuk sambutan Ambang Merdeka 2026, akan diputuskan semula susulan perkembangan semasa keadaan jerebu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketua Setiausaha Negara akan mengadakan perbincangan dengan kementerian dan agensi berkaitan sebelum keputusan muktamad dibuat.
  • Keputusan akan berdasarkan penilaian perkembangan jerebu, unjuran cuaca lima hingga enam hari serta aspek keselamatan dan kesihatan.
  • Sambutan tidak semestinya dibatalkan; pilihan alternatif termasuk penganjuran di lokasi tertutup sedang dipertimbangkan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, ketetapan terbaharu akan dibuat selepas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengadakan perbincangan bersama kementerian dan agensi berkaitan pada petang ini.

Beliau berkata, perbincangan itu bertujuan menilai perkembangan semasa jerebu serta memastikan aspek keselamatan dan kesihatan semua pihak diberikan keutamaan.

“Ketua Setiausaha Negara akan meneliti perkara ini bersama Kementerian Komunikasi, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Jabatan Meteorologi Malaysia serta beberapa kementerian dan agensi lain termasuk Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.

“Mereka akan menilai dan membuat keputusan berdasarkan unjuran cuaca bagi tempoh lima hingga enam hari akan datang, termasuk kemungkinan senario cuaca dan isu jerebu,” katanya pada sidang media mingguan di Putrajaya, hari ini.

Menurut Datuk Seri Fahmi berkata, pertimbangan turut mengambil kira penglibatan kira-kira 1,500 pelajar sekolah menengah dari tiga negeri yang dijadualkan menyertai persembahan grafik manusia bersempena sambutan berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, kesesuaian lokasi serta aspek keselamatan dan kesihatan peserta, penonton dan pengunjung akan menjadi antara pertimbangan utama sebelum keputusan muktamad dibuat.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sambutan HKHM 2026 tidak semestinya dibatalkan, sebaliknya beberapa pilihan lain, termasuk penganjuran di lokasi tertutup, sedang dipertimbangkan.

Keputusan mengenai pelaksanaan sambutan berkenaan dijangka dibuat selepas perbincangan melibatkan KSN bersama kementerian dan agensi berkaitan selesai diadakan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.