PLUS jangka 2.2 juta kenderaan sempena Hari Kebangsaan, cuti sekolah

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan sekitar 2.2 juta kenderaan akan menggunakan rangkaian lebuh raya itu pada hari-hari puncak sempena sambutan Hari Kebangsaan dan cuti persekolahan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rancang perjalanan awal dengan merujuk jadual digital MyPLUS-TTA melalui Aplikasi PLUS untuk mengagihkan trafik dan mengurangkan kesesakan.
  • PLUS menambah petugas tol, meningkatkan rondaan PLUSRonda, memantau trafik di Pusat Pemantauan Trafik dan mengaktifkan Smart Lane di 33 lokasi.
  • Pastikan kenderaan baik, patuhi had laju, kekalkan jarak selamat, elakkan guna telefon semasa memandu dan berehat di R&R jika perlu.

PLUS dalam kenyataan memaklumkan, trafik dijangka lebih tinggi bagi tempoh 28 hingga 31 Ogos serta 4 hingga 7 September, apabila lebih ramai pengguna mengambil peluang sempena cuti umum dan cuti persekolahan untuk membuat perjalanan.

“Bagi membantu melancarkan perjalanan, pengguna digalakkan merancang perjalanan lebih awal dengan merujuk jadual digital MyPLUS-TTA (Travel Time Advisory) menerusi Aplikasi PLUS.

“Pengguna disarankan mematuhi jadual perjalanan berkenaan yang disusun berdasarkan jangkaan pola trafik pada musim perayaan atau waktu puncak terdahulu,” menurut kenyataan itu.

Pematuhan kepada jadual itu dapat membantu mengagihkan trafik dan mengurangkan tumpuan kenderaan di satu-satu lokasi pada waktu puncak.

Sebagai persediaan menghadapi pertambahan trafik, PLUS akan menambah petugas di plaza tol dan kawasan rehat, meningkatkan rondaan PLUSRonda serta memantau trafik secara berterusan menerusi Pusat Pemantauan Trafik.

“Smart Lane di 33 lokasi terpilih turut diaktifkan bagi membantu melancarkan trafik di kawasan yang dikenal pasti berpotensi mengalami kesesakan.

“Pengguna dinasihatkan supaya peka dengan papan tanda Smart Lane dan mengurangkan kelajuan ketika menggunakan laluan berkenaan serta tidak menggunakan laluan kecemasan di luar lokasi pengaktifan Smart Lane,” tambah kenyataan itu.

Dalam pada itu, PLUS turut meningkatkan penyelenggaraan kemudahan awam di kawasan rehat dan rawat (R&R) serta hentian sebelah dengan mengutamakan aspek kebersihan dan keselesaan pengguna.

Pengguna lebuh raya turut diingatkan supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, mematuhi had laju, mengekalkan jarak pemanduan selamat serta mengelakkan penggunaan telefon bimbit ketika memandu.

Bagi perjalanan jarak jauh, pengguna dinasihatkan berehat di R&R atau hentian sebelah sebelum meneruskan perjalanan.

Maklumat trafik terkini boleh diperoleh menerusi Aplikasi PLUS dan platform media sosial rasmi PLUS, manakala pengguna yang memerlukan bantuan boleh menghubungi PLUSLine di talian 1800-88-0000.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.