Jerebu tebal jejas aktiviti, kesihatan warga kota

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Keadaan jerebu yang melanda kawasan Lembah Klang kini berada pada tahap membimbangkan, sekali gus menjejaskan aktiviti harian serta kesihatan orang awam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jerebu tebal mengehadkan penglihatan; mercu tanda seperti KLCC dan Menara Merdeka 118 tidak lagi nampak jelas.
  • Penduduk melaporkan simptom pernafasan: selsema, semput dan batuk; ada yang mendapat rawatan di hospital.
  • Ramai menghentikan aktiviti riadah luar dan beralih ke senaman dalam bangunan demi menjaga kesihatan.
  • Orang awam disaran memakai pelitup muka dan mengamalkan perlindungan kendiri serta mengurangkan pergerakan luar sementara menunggu pulih.

Tinjauan RTM di sekitar ibu kota mendapati ruang udara diselubungi jerebu tebal dengan jarak penglihatan yang terhad, merintangi pemandangan mercu tanda utama seperti Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan Menara Merdeka 118.

Menurut Faiz Kamal Jaafar, keadaan jerebu yang semakin memburuk ini sudah mula memberi kesan langsung kepada kesihatan fizikal serta aktiviti riadah harian.

“Memang saya sendiri turut mengalami sedikit simptom selesema selepas menunggang motosikal, apatah lagi keadaan jerebu semakin teruk.

“Saya baru sahaja pulih daripada selesema selepas tiga hari, sementara anak saya pula masih menerima rawatan di Hospital Prince Court, dipercayai akibat kesan jerebu,” katanya.

Bagi Zafdlin Hasnoal, keadaan cuaca yang tidak sihat ini memaksa beliau menghentikan aktiviti senaman di luar dan beralih ke dalam bangunan demi menjaga kesihatan.

“Keadaan jerebu sekarang amat tebal sehingga mercu tanda seperti KLCC dan Menara Merdeka 118 tidak lagi dapat dilihat dengan jelas. Malah, saya turut mengalami semput dan batuk sebaik sahaja bangun tidur.

“Sebagai seorang yang aktif bersukan, saya kini tidak dapat lagi berlari di luar kerana kualiti udara yang semakin merosot dan menjejaskan pernafasan,” katanya.

Sementara itu, Khairunnisa Ayuni Khali, menyarankan agar orang awam mula mengambil langkah awal dengan memakai pelitup muka bagi mengelakkan risiko gangguan pernafasan ketika berada di kawasan terbuka.

Hari ini saya perlu berada di luar untuk berjalan dan bergerak ke beberapa lokasi, menyebabkan saya mula berasa sedikit sesak nafas dan cepat penat.

“Pada pandangan saya, orang awam perlu mula mengambil langkah perlindungan kendiri, termasuk memakai pelitup muka ketika berada di kawasan terbuka,” katanya.

Melihat kepada kualiti udara yang menjejaskan rutin seharian, warga kota kini mengambil langkah mengurangkan pergerakan luar serta mengamalkan perlindungan kendiri sementara menunggu keadaan kembali pulih.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.