
SERI KEMBANGAN, 24 Ogos – Semangat juang tinggi atlet silambam Sarawak, Nur Aleesya Zahierah Sali membuahkan hasil apabila dia berjaya memenangi pingat emas dalam acara Poruthal Individu 60 hingga 70 kilogram (kg) wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
- Perlawanan awal: Nur Aleesya tewas 31-33 kepada B. Dharnisha dan meraih pingat perak.
- Bantahan terhadap kesilapan penilaian mata membolehkan perlawanan akhir diadakan semula; aksi ulangan dimenangi Nur Aleesya 12-9.
- Dia baru berkecimpung dua hingga tiga tahun, bekerja keras menyaingi peserta lebih berpengalaman; sebelumnya membawa pulang gangsa 2024.
Meskipun terpaksa beraksi dalam dua perlawanan akhir selepas kem Sarawak mengemukakan bantahan terhadap keputusan pengadil pada aksi pertama, atlet berusia 17 tahun itu tetap fokus untuk memastikan emas menjadi milik Bumi Kenyalang.
Pada perlawanan awal, Nur Aleesya sekadar meraih pingat perak apabila tewas tipis 31-33 kepada wakil Pulau Pinang, B. Dharnisha.
Bagaimanapun, bantahan yang dikemukakan susulan kesilapan penilaian mata membolehkan perlawanan akhir itu diadakan semula.
Pada aksi ulangan, Nur Aleesya tampil lebih agresif untuk mencatat kemenangan 12-9.
“Ia sangat mencabar tetapi saya tidak berputus asa. Kali pertama saya mendapat perak, saya tidak menyerah kerana saya tahu saya bekerja keras dan berlatih bersungguh-sungguh untuk ini. Saya rasa saya layak mendapat pingat emas ini,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Nur Aleesya yang mula berkecimpung dalam sukan silambam sejak tiga tahun lalu mengakui perlu bekerja keras bagi menyaingi pencabar yang lebih berpengalaman.
“Kebanyakan peserta dalam sukan ini sangat berpengalaman dan mereka berlatih sejak kecil, sedangkan saya baru bermula sekitar dua atau tiga tahun lepas.
“Jadi memang ada perbezaan tahap pengalaman tetapi saya cuba mengatasi cabaran itu dengan bekerja keras,” katanya.
Kejayaan ini memperbaiki pencapaiannya pada edisi 2024 di Sarawak yang menyaksikan Nur Aleesya sekadar membawa pulang pingat gangsa.