
ARAU, 23 Ogos – RHB Islamic Bank Berhad menyerahkan zakat korporat sebanyak RM1.1 juta kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam satu majlis yang berlangsung di Masjid Al-Abrar, Kubang Gajah, di sini.
- RHB Islamic Bank menzahirkan komitmen berterusan menyokong usaha MAIPs memperkasa golongan asnaf.
- Kerjasama bertujuan membuka peluang pendapatan mampan, meningkatkan taraf keluarga dan mengurangkan kebergantungan kepada bantuan zakat.
- Majlis disempurnakan oleh Raja Muda Perlis dan dihadiri Raja Puan Muda serta Waris Yang Kedua Negeri Perlis.
Pengarah Urusan RHB Islamic Bank Berhad, Datuk Adissadikin Ali dalam kenyataan memaklumkan, penyaluran zakat korporat tersebut mencerminkan komitmen berterusan RHB Islamic Bank Berhad dalam menyokong usaha MAIPs memperkasa golongan asnaf.
“Ia bukan sahaja dalam memenuhi keperluan semasa, malah membuka peluang untuk mereka membina kehidupan yang lebih berdikari dan sejahtera.
“Kerjasama ini diharap dapat membantu lebih ramai asnaf membina sumber pendapatan yang mampan, meningkatkan taraf kehidupan keluarga serta seterusnya keluar daripada kebergantungan kepada bantuan zakat,” menurut kenyataan itu.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang DiPertua MAIPs, berkenan berangkat menyempurnakan majlis tersebut.
Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.