Projek tanah kubur Islam Kg Sungai Kertas fasa satu dijangka siap Oktober

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari / Foto RTM

GOMBAK, 22 Ogos – Kerja-kerja pembangunan projek tanah perkuburan Islam baharu di Kampung Sungai Kertas, Mukim Batu di sini bagi fasa satu yang melibatkan 812 lot, hampir selesai dengan jangkaan siap pada Oktober ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fasa seterusnya akan dilaksanakan selepas fasa satu selesai.
  • Kerajaan merancang menaik taraf tanah perkuburan Bukit Permata kerana memerlukan pembetulan dan penambahbaikan.
  • Projek Bukit Permata dijangka mengambil masa dua tahun dan akan dibawa dalam Belanjawan tahun hadapan.
  • Kubur Dalam Taman (Raudhatul Sakinah) mensasarkan 6,623 plot (5,653 dewasa, 868 kanak-kanak) untuk keperluan jangka panjang Gombak.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, fasa seterusnya akan dilaksanakan selepas fasa satu selesai.

Beliau turut memberitahu kerajaan negeri ketika ini turut merancang untuk menaik taraf kawasan tanah perkuburan Islam di Bukit Permata di sini.

“Kita turut merancang untuk menaik taraf kawasan Bukit Permata ini kerana ada pembetulan (penambahbaikan) yang perlu dilakukan.

“Projek Bukit Permata ini dijangka mengambil masa dalam tempoh dua tahun dan kita akan bawa perkara ini dalam Belanjawan tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Maulidurrasul dan Kemerdekaan di Masjid AlKhiariyah Taman Sri Gombak di sini.

Pada Disember tahun lalu, Datuk Seri Amirudin berkata pembangunan tanah perkuburan Islam baharu di Kampung Sungai Kertas merupakan satu keperluan mendesak berikutan kapasiti tanah perkuburan sedia ada di kawasan Gombak semakin penuh dan terhad.

Projek dibangunkan berkonsepkan Kubur Dalam Taman atau Raudhatul Sakinah menyasarkan penyediaan sebanyak 6,623 plot kubur, merangkumi 5,653 lot dewasa dan 868 lot kanak-kanak, sekali gus mampu menampung keperluan jangka panjang penduduk di Gombak dan kawasan sekitarnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.