
GOMBAK, 22 Ogos – Kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dibincangkan dalam pertemuan antara Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadual berlangsung esok.
- Perbincangan PH akan memperhalusi keperluan kerjasama sebelum sebarang tindakan lanjut.
- Pertemuan dengan Pengerusi BN Melaka mungkin diadakan dalam tempoh satu hingga dua minggu jika perlu.
- Rundingan ditangguhkan sementara kerana persiapan sambutan Hari Kebangsaan; rundingan dijangka selepas sambutan.
- PH menyambut baik keterbukaan BN mengenai pengagihan kerusi; keputusan kerjasama PRN Melaka masih belum dibuat.
Datuk Seri Amirudin merangkap Menteri Besar Selangor berkata, perbincangan itu akan memperhalusi keperluan kerjasama tersebut sebelum sebarang tindakan lanjut diambil termasuk rundingan dengan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
“Mesyuarat bersama Datuk Seri Anwar esok akan meneliti keperluan kerjasama PH-BN. Sekiranya ada keperluan, saya akan mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi BN Melaka dalam tempoh seminggu atau dua minggu ini.
“Kita ada ruang masa yang cukup untuk proses rundingan kerana ketika ini, kita sibuk dengan persiapan sambutan Hari Kebangsaan. Jadi selepas sambutan paling cepat akan adakan rundingan,” katanya.
Jelas beliau lagi, setakat ini belum ada sebarang keputusan berhubung kerjasama PH-BN dalam PRN Melaka.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Maulidurrasul dan Kemerdekaan di Masjid AlKhiariyah Taman Seri Gombak di sini.
Terdahulu, Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata PH menyambut baik keterbukaan BN berhubung pengagihan kerusi bagi menghadapi PRN Melaka dan menyifatkannya sebagai peluang yang wajar diteliti.
Pada Pilihan Raya Negeri Melaka 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi, manakala PH memperoleh lima dan Perikatan Nasional dua kerusi.