
KOTA KINABALU, 22 Ogos – Pemilik kenderaan di Sabah yang layak menerima tambahan kuota 100 liter di bawah BUDI Diesel dinasihatkan agar segera mengemukakan permohonan.
- Kira-kira 71,000 pemilik kenderaan yang layak di Sabah masih belum mengemukakan permohonan tambahan kuota BUDI Diesel.
- Daripada kira-kira 120,000 yang layak, hanya sekitar 49,000 telah membuat permohonan; baki perlu daftar supaya kerajaan boleh nilai keperluan sebenar.
- Permintaan peniaga dan syarikat untuk penambahan kuota diesel kategori tertentu kini dalam penelitian Kementerian Kewangan.
Ini kerana terdapat kira-kira 71,000 pemilik kenderaan yang layak masih belum berbuat demikian setakat ini.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, daripada kira-kira 120,000 pemilik yang layak, hanya sekitar 49,000 telah mengemukakan permohonan.
“Jadi kita harapkan baki yang belum membuat permohonan itu dapat mendaftarkan kenderaan mereka supaya boleh guna tambahan 100 liter tersebut dan barulah kita boleh lihat berapa kuota sebenarnya yang diperlukan”, katanya kepada pemberita ketika menghadiri Program MADANI Kita Bersama Komuniti Darau @Sepanggar.
Beliau berkata penggunaan tambahan kuota 100 liter itu perlu dimanfaatkan terlebih dahulu bagi membolehkan kerajaan menilai keperluan sebenar sebelum mempertimbangkan sebarang penambahan kuota.
Sementara itu, permintaan peniaga dan syarikat untuk menambah kuota diesel bagi kategori kenderaan tertentu kini dalam penelitian Kementerian Kewangan.