
KUCHING, 23 Ogos – Semua sekolah di enam daerah di Sarawak akan dibuka semula esok selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) setakat 10 pagi ini berada di bawah paras 200.
- Semua aktiviti luar bilik darjah tidak dibenarkan bagi melindungi kesihatan warga sekolah.
- Keputusan menutup sekolah tertakluk kepada bacaan IPU semasa, menurut Pengarah JPN Sarawak.
- Garis panduan KPM: IPU melebihi 100 hentikan aktiviti luar; melebihi 200 tutup sekolah; melebihi 500 guru dan kakitangan tidak perlu hadir.
Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak, Omar Mahli berkata, semua aktiviti luar bilik darjah tidak dibenarkan demi melindungi kesihatan warga sekolah.
“Sebarang keputusan untuk menutup sekolah selepas ini tetap tertakluk kepada bacaan IPU semasa,” katanya ketika dihubungi RTM.
Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan, Kuching merekodkan IPU tidak sihat, dengan bacaan 181, setakat pukul 10 pagi.
Tiga lagi daerah di Sarawak turut mencatat IPU kategori sama, termasuk IPD Serian (192), Sri Aman (176) dan Samarahan (174).
Berdasarkan garis panduan berhubung pengurusan sekolah ketika fenomena jerebu yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan pembukaan semula sekolah bergantung kepada bacaan IPU yang berada di bawah 200 dan menunjukkan trend penurunan.
Selain itu, sekolah perlu menghentikan semua aktiviti luar bilik darjah melibatkan murid sekiranya bacaan IPU melebihi 100.
Jika bacaan IPU melebihi 200, semua sekolah dalam kawasan atau daerah berkenaan hendaklah ditutup serta-merta, manakala sekiranya bacaan melebihi 500, guru dan kakitangan tidak perlu hadir ke sekolah.