Bergaduh pada final Piala Dunia: Paredes digantung 10 perlawanan

Pemain Argentina, Leandro Paredes bergaduh dengan pemain Sepanyol, Gavi pada perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 – Foto AFP

PARIS, 21 Ogos – Pemain tengah Argentina, Leandro Paredes dan beberapa pemain lain dikenakan hukuman penggantungan serta denda kerana terbabit dalam insiden pergaduhan dengan pemain Sepanyol pada aksi final Piala Dunia FIFA 2026, bulan lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • FIFA arah Argentina beraksi dalam dua perlawanan di laman sendiri tanpa penonton, namun satu hukuman digantung.
  • Leandro Paredes digantung 10 perlawanan antarabangsa dan didenda AS$90,000.
  • Nahuel Molina digantung tujuh perlawanan dan didenda AS$90,000; Thiago Almada digantung satu perlawanan dan didenda AS$30,000.
  • AFA didenda AS$321,000 dan akan merayu; penyokong mengangkat sepanduk "Kepulauan Falkland milik Argentina" selepas separuh akhir.

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada Jumaat turut mengarahkan skuad La Albiceleste beraksi dalam dua perlawanan di laman sendiri tanpa kehadiran penonton, namun satu daripada hukuman itu digantung.

Paredes, yang beraksi bersama Boca Juniors, digantung 10 perlawanan antarabangsa dan didenda AS$90,000.

Beliau didapati bersalah mencengkam leher Eric Garcia dan menjatuhkan Gavi ke tanah dengan menarik bib pemain gantian yang dipakainya, sekali gus mencetuskan ketegangan susulan insiden selepas final yang menyaksikan Sepanyol menewaskan Argentina, 1-0 di MetLife Stadium, New Jersey pada 19 Julai.

Rakan sepasukan Paredes, Nahuel Molina pula dikenakan penggantungan tujuh perlawanan serta denda AS$90,000, manakala Thiago Almada digantung satu perlawanan dan didenda AS$30,000.

Gavi turut dikenakan hukuman sama kerana terlibat dalam insiden pergaduhan berkenaan.

Persatuan Bolasepak Argentina (AFA) didenda AS$321,000 kerana melanggar kod tatatertib FIFA, termasuk menggunakan acara sukan untuk membuat demonstrasi berunsur bukan sukan, salah laku pasukan serta laungan dan isyarat berunsur diskriminasi oleh penyokong.

Selepas Argentina menewaskan England 2-1 dalam aksi separuh akhir Piala Dunia, beberapa pemain Argentina mengangkat sepanduk bertulis “Kepulauan Falkland milik Argentina.”

AFA akan merayu untuk hukuman penggantungan dan denda berkenaan. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.