
PUTRAJAYA, 21 Ogos – Malaysia menyasarkan sekurang-kurangnya 5,000 bakat tempatan menerima latihan teknologi Arm Limited menjelang akhir 2027, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi menyokong ekosistem semikonduktor negara.
- Penetapan sasaran berfungsi sebagai penanda aras untuk memastikan kerjasama Malaysia-Arm dilaksanakan mengikut landasan yang ditetapkan.
- Peserta diberi pendedahan teknologi Arm dan peluang latihan industri melalui syarikat yang menerima akses Arm Flexible Access.
- Pendekatan ini menghubungkan bakat dengan keperluan syarikat, mengurangkan risiko kehilangan bakat ke luar, serta memperkukuh tenaga kerja semikonduktor.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, sasaran itu ditetapkan sebagai penanda aras bagi memastikan pelaksanaan kerjasama Malaysia-Arm terus berada pada landasan yang ditetapkan.
“Saya nak meletakkan sasaran sebab ia telah bermula pada 2025 jadi penghujung 2027 kita kena capai sekurang-kurangnya 5,000 peserta,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi dan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kepada Arm Limited, di sini.
Beliau berkata, peserta yang menerima pendedahan teknologi Arm akan turut diberi peluang menjalani latihan industri di syarikat yang menerima akses teknologi Arm Flexible Access (AFA).
Pendekatan itu penting bagi memastikan bakat yang dibangunkan dapat dihubungkan secara langsung dengan keperluan syarikat dalam ekosistem semikonduktor tempatan.
Kerajaan tidak mahu bakat yang telah menerima latihan dan mempunyai kemahiran berkaitan akhirnya ditarik oleh syarikat atau negara luar.
“Kita tak mahu nanti anak-anak kita bila dah dapat pendedahan disunting oleh negara lain, disunting oleh syarikat luar. Sedangkan syarikat yang bertapak dalam negara akan mengatakan bakat tidak ada, tidak mencukupi ataupun susah nak cari,” katanya.
Menurut Akmal, kerjasama dengan Arm bukan sekadar memberi pendedahan kepada teknologi global, tetapi turut memperkukuh bekalan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi menyokong pertumbuhan industri semikonduktor Malaysia.