Pendeposit sokong usaha perkukuh aspek pengurusan TH

Foto Fail TH

LANGKAWI, 20 Ogos – Pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) di sini masih menaruh keyakinan tinggi terhadap institusi itu, selain menyokong usaha kerajaan Persekutuan memperkukuh aspek pengurusan institusi kewangan tersebut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Simpanan dilindungi oleh akta Tabung Haji dan dijamin kerajaan, menjamin keselamatan wang pendeposit.
  • Ramai pegawai dianggap amanah dan mampu melaksanakan tanggungjawab pengurusan dengan baik.
  • Masyarakat dinasihat lebih berhati-hati menilai maklumat yang tersebar di media sosial.
  • Pendeposit berharap prestasi Tabung Haji meningkat dan dividen kembali tinggi seperti dahulu.

Pekerja swasta, Amalina, 35 tahun, berkata, perlindungan terhadap simpanan memberi keyakinan kepadanya untuk terus menggunakan perkhidmatan TH.

“Tabung Haji ini ada akta dia sendiri, dijamin oleh kerajaan. Kalau ada simpanan yang lebih banyak sekali pun, kerajaan akan jamin simpanan kita dilindungi.

“Jadi, tiada masalah untuk terus simpan di Tabung Haji,” katanya.

Bagi penjawat awam, Siti Nurnajihah Husna, 28 tahun, beliau percaya institusi itu masih mempunyai pegawai yang mampu melaksana amanah dengan baik.

“Alhamdulillah, saya percaya masih ramai lagi pegawai yang amanah untuk menguruskan Tabung Haji.

“Saya percaya selepas ini Tabung Haji akan pulih sepenuhnya bersama pegawai yang diamanahkan,” katanya.

Pesara, Ramli Ahmad, 65 tahun, pula berpandangan masyarakat perlu lebih berhati-hati dalam menilai maklumat yang dikongsi menerusi media sosial.

“Saya yakin Tabung Haji ini adalah tempat yang selamat. Insya-Allah, itulah tempat kita menyimpan untuk umat Islam.

“Insya-Allah, jangan takut,” katanya.

Reaksi sama dikongsi penjawat awam, Muhammad Sobri Abdul Manan yang masih yakin terhadap kredibiliti petugas TH.

“Saya masih percaya kredibiliti petugas TH untuk membersihkan nama TH,” katanya.

Sementara itu, pesara Hashim Musa berharap prestasi institusi berkenaan terus bertambah baik sehingga dapat memberi pulangan yang lebih tinggi kepada pendeposit.

“Kami sebagai orang yang menyimpan dalam Tabung Haji berharap sangatlah, moga-moga dapat dividen macam dulu,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.