
AMPANG, 20 Ogos – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang meneliti pendekatan bagi memastikan pesara perkhidmatan awam mendapat akses rawatan hospital dengan tempoh menunggu yang lebih singkat.
- JPA mengiktiraf cabaran pesara, ramai warga tua memerlukan rawatan berkala.
- Kerjasama dengan hospital wujudkan laluan khas untuk memudahkan pesara mendapatkan rawatan.
- Inisiatif sedia ada akan ditambah baik dari semasa ke semasa untuk kemudahan lebih baik.
- Persediaan Belanjawan 2027 hampir selesai; kebajikan penjawat awam menjadi keutamaan untuk dikemukakan.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, usaha itu mengambil kira cabaran dihadapi golongan pesara yang kebanyakannya terdiri daripada warga berusia dan memerlukan rawatan secara berkala.
“Antara cabaran mereka adalah untuk mendapatkan rawatan yang tidak perlu menunggu lebih lama di hospital dan sebagainya.
“Dan kita sedang mengadakan satu kajian bagaimana kita nak memperoleh tempoh menunggu yang tidak terlalu lama terutamanya kepada pesara-pesara,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian selepas Program Santuni Pesara (Ziarah Kasih Merdeka) di sekitar Lembah Klang, hari ini.
Beliau berkata, JPA sebelum ini telah bekerjasama dengan pihak hospital bagi menyediakan laluan khusus untuk pesara ketika mendapatkan rawatan.
Menurutnya, inisiatif itu akan terus ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memberi kemudahan yang lebih baik kepada golongan berkenaan.
“Inisiatif sebelum ini telah pun kita adakan dengan pihak hospital di mana ada laluan khusus untuk pesara semasa mereka mendapatkan rawatan di hospital. Dan kita akan tambah baik lagi dari semasa ke semasa,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Tan Sri Dr. Wan Ahmad Dahlan berkata persediaan Belanjawan 2027 oleh JPA kini berada di peringkat akhir, dengan aspek kebajikan penjawat awam menjadi keutamaan untuk dikemukakan kepada Kementerian Kewangan.
“Untuk belanjawan ini kita masih lagi di peringkat akhir dan sudah pasti dari segi kebajikan penjawat awam adalah keutamaan JPA untuk kita kemukakan kepada pihak Kementerian Kewangan,” katanya.
Program bersempena Bulan Kebangsaan itu menyaksikan JPA menyantuni lima pesara yang pernah menyumbang kepada negara, termasuk dua pesara tentera, seorang pesara polis dan seorang pesara Keretapi Tanah Melayu.