
KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Kerajaan menyasarkan kadar kebergantungan terhadap tenaga buruh asing dikurangkan kepada 10 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja negara menjelang 2030.
- Sektor industri perlu beralih kepada teknologi, automasi dan penambahbaikan proses bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
- Kerajaan tidak akan menambah pekerja asing dan menyediakan insentif termasuk geran automasi untuk meningkatkan kecekapan operasi dan produktiviti.
- Langkah disokong melalui pelaburan dalam teknologi, penyelidikan dan pembangunan serta peningkatan rantaian nilai bagi memacu daya saing industri tempatan.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, ketika ini kerajaan menetapkan had tenaga buruh asing kepada 13 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja negara sebagai langkah mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.
Ujar beliau, kerajaan tidak bercadang meningkatkan jumlah pekerja asing, sebaliknya mahu sektor industri beralih kepada penggunaan teknologi, automasi dan penambahbaikan proses bagi meningkatkan produktiviti.
“kebergantungan berlebihan terhadap tenaga buruh asing menyebabkan syarikat kurang terdorong untuk melabur dalam teknologi serta bergerak ke arah rantaian nilai yang lebih tinggi”
“Dasar berkenaan perlu difahami sektor perniagaan yang kini perlu membuat persediaan menghadapi cabaran mendapatkan tenaga kerja pada masa akan datang” katanya demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Asia KLEM Conference ke 7 dan Peluncuran Laporan Produktiviti 2026.
Katanya, kerajaan turut menyediakan pelbagai insentif termasuk geran automasi bagi membantu syarikat meningkatkan kecekapan operasi dan produktiviti.
Jelasnya, langkah berkenaan perlu disokong dengan pelaburan dalam teknologi, penyelidikan, pembangunan serta usaha meningkatkan rantaian nilai supaya industri tempatan lebih berdaya saing.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, produktiviti setiap pekerja buruh negara pada 2025 mencapai RM104,556, manakala produktiviti buruh pada suku kedua 2026 berkembang 4.3 peratus.
Malaysia katanya turut mencatat peningkatan lapan anak tangga ke kedudukan lima belas berbanding kedudukan ke dua puluh tiga bagi tahun 2025 dalam IMD World Competitiveness Ranking 2026.