SUKMA 2026: Puteri Qaira raih emas compound selepas semakan juri

Foto BERNAMA

KAJANG, 20 Ogos – Atlet memanah Perak, Puteri Qaira Qistina Hairol Supfian meraih pingat emas acara compound 50 meter individu wanita selepas menewaskan wakil Sabah, Catherine Looi Mei Qi, dalam aksi final Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 di Stadium INSPEN, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Panahan terakhir pada awalnya dikira lapan mata, menjadikan kedudukan terikat 142-142.
  • Bantahan jurulatih Dr Fatin Nurfatehah Mat Salleh membawa kepada semakan juri yang mengubah keputusan kepada sembilan mata.
  • Keputusan semakan memberi kemenangan tipis 143-142 serta pingat emas kepada kontinjen.
  • Atlet mula memanah sejak darjah empat, beralih ke acara compound pada usia 13 dan bercita-cita untuk Olimpik.

Persaingan sengit menyaksikan penentuan pingat emas hampir diheret ke pusingan shoot-off apabila Puteri Qaira pada awalnya diberikan lapan mata bagi panahan terakhirnya, sekali gus menjadikan kedudukan terikat 142-142.

Bagaimanapun, bantahan yang dikemukakan jurulatih Perak, Dr Fatin Nurfatehah Mat Salleh, membawa kepada semakan juri yang kemudiannya mengubah keputusan panahan itu kepada sembilan mata.

Keputusan tersebut memberikan kemenangan tipis 143-142 kepada Puteri Qaira, sekali gus menghadiahkan pingat emas buat kontinjen Perak.

Puteri Qaira berkata, ketika itu dia tidak terlalu mengharapkan kemenangan, namun tetap berharap dapat menyumbang pingat emas buat kontinjen negeri.

“Waktu itu saya macam tidak terlalu mengharapkan emas, tapi saya harap kalau boleh dapatlah sebab saya pun nak sumbang satu emas untuk sukan memanah ini.

“Tapi tidaklah rasa gementar sangat sebab saya fikir kalau dapat nombor dua pun okey dah,” katanya ketika ditemui pemberita.

Kejayaan itu turut menebus kekecewaan atlet berusia 15 tahun tersebut selepas tewas dengan perbezaan satu mata kepada lawan yang sama dalam pusingan kelayakan acara compound 50 meter wanita sebelum ini.

Puteri Qaira mula menceburi sukan memanah sejak darjah empat menerusi acara recurve sebelum beralih ke acara compound ketika berusia 13 tahun.

Dia kini memasang impian untuk mengikut jejak langkah jurulatihnya dengan beraksi di pentas Sukan Olimpik pada masa hadapan.

Sementara itu, pingat gangsa menjadi milik atlet Sarawak, Wei Yee Qi selepas menewaskan pencabar dari Selangor dengan keputusan 145-140 dalam aksi penentuan tempat ketiga.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.