
MERSING, 20 Ogos – Semua perancangan pembangunan dan perolehan membabitkan Rejimen Gerak Khas (RGK) yang telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selaku Kolonel Komandan Rejimen Gerak Khas, tidak seharusnya diubah hanya disebabkan kepentingan pihak tertentu.
- Semua pihak termasuk Kementerian Pertahanan mesti memastikan perancangan RGK mendapat perkenan Seri Paduka Baginda dan dilaksanakan dengan amanah.
- Perancangan pembangunan dan perolehan mesti berdasarkan keperluan sebenar pasukan.
- Segala keputusan perlu memberi manfaat kepada kesiapsiagaan dan keupayaan operasi pasukan.
- Anggota GGK harus mengekalkan kemahiran, ketahanan fizikal mental, integriti dan kesetiaan kepada Raja dan Negara.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah, semua pihak termasuk Kementerian Pertahanan dan pihak berkepentingan perlu memastikan setiap perancangan pembangunan RGK terlebih dahulu mendapat perkenan Seri Paduka Baginda serta dilaksanakan dengan penuh amanah dan tanggungjawab.
“Apa jua yang telah diperkenankan tidak seharusnya berubah hanya disebabkan kepentingan pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan atas apa yang telah dirancang dengan baik sebelum ini,” titah baginda demikian pada Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas ke-61 di Kem Iskandar, di sini, hari ini.
Tunku Mahkota Ismail turut menegaskan bahawa setiap perancangan pembangunan dan perolehan RGK perlu dilaksanakan berdasarkan keperluan sebenar pasukan, selain memastikan segala keputusan yang dibuat memberi manfaat kepada kesiapsiagaan dan keupayaan operasi.
Pada masa sama, baginda menyeru anggota Gerup Gerak Khas (GGK) supaya sentiasa mengekalkan tahap kemahiran, ketahanan fizikal dan mental, integriti serta kesetiaan kepada Raja dan Negara, selaras dengan sumpah seorang perajurit komando.