
KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Seramai 26 individu termasuk 25 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi khas di dua lokasi di Jalan Kuchai Lama dan sekitar Jalan Gelugor, Kuala Lumpur.
- Tahanan berusia 18 hingga 35 tahun, kebanyakan tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
- Pelbagai warga asing ditahan termasuk Myanmar, Bangladesh, Indonesia dan Vietnam.
- Pasport, telefon bimbit, kondom dan wang tunai RM1,215 dirampas sebagai barang kes disyaki hasil kegiatan.
- Seorang wanita Thailand dipercayai dalang utama; pasangan asing dan seorang lelaki tempatan ditangkap serta dikenakan tindakan di bawah Akta Imigresen.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 35 tahun.
“Penahanan membabitkan tiga lelaki warga Myanmar, tiga wanita warga Bangladesh, 14 wanita warga Indonesia, dua wanita warga Vietnam dan seorang wanita warga Myanmar.
“Seorang lelaki warga Bangladesh bersama seorang wanita warga Thailand yang dipercayai dalang utama kegiatan, selain seorang lelaki warga tempatan dipercayai berperanan sebagai penjaga premis turut ditangkap.
“Semakan awal mendapati kesemua warga asing berkenaan tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan.
JIM turut menyita empat pasport Bangladesh, satu pasport Thailand dan satu pasport Indonesia, selain telefon bimbit, kondom serta wang tunai berjumlah RM1,215 disyaki hasil kegiatan berkenaan.
Premis berkenaan dipercayai dipromosikan kepada pelanggan, terutama warga Bangladesh di Lembah Klang, menerusi platform media sosial.
Kegiatan itu dipercayai telah beroperasi sejak dua bulan lalu, manakala premis kediaman dikawal oleh seorang wanita warga Thailand yang dipercayai sebagai dalang utama.
Pasangan warga asing dan seorang lelaki tempatan ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, manakala warga asing lain ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama.
Sementara itu, tujuh lelaki tempatan turut diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.
JIM menegaskan akan meneruskan tindakan tegas bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara.