Kayuhan Merdeka semarak patriotisme warga SK Simpang Ampat

Foto RTM

SIMPANG AMPAT, 19 Ogos- Seramai 50 pelajar, guru pengiring dan guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Ampat menyertai Kayuhan Merdeka sejauh 10 kilometer sempena sambutan Hari Kebangsaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kayuhan dijalankan sebagai aktiviti santai dan menyeronokkan untuk menyemai semangat patriotik dalam kalangan warga sekolah.
  • Sekolah menganjurkan program sebulan termasuk pertandingan poster, gotong-royong membersihkan masjid dan pertandingan pakaian beragam.
  • Penerapan nilai kenegaraan dimulakan di peringkat sekolah rendah supaya murid menghargai perjuangan terdahulu mencapai kemerdekaan.
  • Pelajar berasa bangga dan sayang kepada Malaysia; program membantu membentuk generasi yang menghargai keamanan serta kemerdekaan.

Kayuhan bermula dari SK Sanglang sebelum berakhir di SK Simpang Ampat, di sini.

Guru Besar SK Simpang Ampat, Syagul Yuhanis Mohd Yusof berkata program berkenaan bertujuan menyemai semangat patriotik dalam kalangan warga sekolah menerusi aktiviti yang lebih santai dan menyeronokkan.

“Kita memupuk semangat kemerdekaan yang lebih menyeronokkan.

“Negara kita mahu guru sejahtera dan murid gembira untuk mencapai aspirasi Malaysia iaitu melahirkan murid yang beradab,” katanya.

Beliau berkata selain Kayuhan Merdeka, pihak sekolah turut menganjurkan pelbagai program sepanjang sebulan bermula 16 Ogos hingga 16 September termasuk pertandingan poster kemerdekaan, gotong-royong membersihkan masjid dan pertandingan pakaian beragam.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan Kokurikulum SK Simpang Ampat, Mohd Fadhlian Saad berkata penerapan nilai kenegaraan perlu dimulakan sejak peringkat sekolah rendah supaya generasi muda menghargai perjuangan terdahulu dalam mencapai kemerdekaan negara.

“Murid-murid perlu ada nilai-nilai kenegaraan bermula daripada sekolah rendah supaya mereka tidak lalai dengan apa yang diperjuangkan oleh orang terdahulu untuk memerdekakan negara.

“Program kemerdekaan ini penting untuk kita terapkan supaya negara kita tidak dijajah semula,” katanya.

Seorang pelajar, Nur Damia Khailiesya Khairul Anuar berkata program berkenaan menyemai rasa bangga, sayang dan menghargai Malaysia sebagai sebuah negara yang memberikan pelbagai kemudahan kepada rakyat.

Program seumpama itu diharap dapat membantu membentuk generasi yang menghargai keamanan dan kemerdekaan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.