Harga petrol, diesel tanpa subsidi naik 10 hingga 20 sen bagi tempoh 20-26 Ogos

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi masing-masing naik antara 10 sen hingga 20 sen seliter bagi tempoh 20 hingga 26 Ogos ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Harga runcit tanpa subsidi meningkat; RON97 RM4.25, RON95 RM3.77, diesel RM4.67 seliter.
  • Petroleum bersubsidi kekal pada RM1.99 untuk BUDI95 dan RM2.10 untuk BUDI Diesel; kerajaan tanggung sebahagian besar subsidi.
  • Konflik dan gangguan di Selat Hormuz jejaskan bekalan; rakyat diseru menggunakan bahan api secara berhemat dan merancang perjalanan lebih cekap.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan, bagi tempoh berkenaan, harga RON97 ditetapkan pada RM4.25 seliter berbanding RM4.15 sebelum ini, RON95 tanpa subsidi pada harga RM3.77 seliter berbanding RM3.62 dan diesel tanpa subsidi pula ditetapkan pada RM4.67 seliter berbanding RM4.47 sebelum ini.

Sementara itu harga petroleum bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter bagi RON95 di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan RM2.10 seliter bagi diesel di bawah BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel).

“Melalui sistem subsidi bersasar yang disediakan, Kerajaan MADANI terus melindungi pengguna yang layak daripada kenaikan harga pasaran.

“Bagi pengguna yang layak di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95), Kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM1.78 seliter, sekitar 47 peratus daripada harga RON95 tanpa subsidi semasa. Bagi pengguna yang layak di bawah BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pula, Kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.57 seliter, atau 55 peratus daripada harga diesel tanpa subsidi,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun harga bagi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pula masing-masing kekal pada RM2.05 dan RM2.15 seliter.

Meskipun selepas 172 hari konflik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran, kekangan trafik di Selat Hormuz terus memberi kesan kepada bekalan minyak mentah dunia atas alasan tiada kesepakatan dicapai untuk menyelesaikannya.

Konflik Rusia-Ukraine turut menambah tekanan terhadap bekalan petroleum dunia dan ketika tempoh pengiraan harga Mekanisme Harga Automatik (APM), Ukraine menyerang sebuah loji penapisan minyak di Rusia, yang juga pengeluar minyak ketiga terbesar dunia.

“Selagi konflik di Asia Barat belum mencapai penyelesaian muktamad dan aliran petroleum melalui Selat Hormuz belum kembali normal, harga produk petroleum dijangka terus mengalami turun naik ketara.

“Ketidaktentuan yang berpanjangan juga berisiko memberi kesan lebih mendalam terhadap bekalan produk petroleum di seluruh dunia,” tambah kenyataan itu.

Dalam pada itu rakyat diseru agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat serta merancang perjalanan yang lebih cekap serta mengurangkan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu mengurangkan tekanan terhadap bekalan negara dan perbelanjaan subsidi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.