
KUALA KETIL, 18 Ogos – Sebanyak 39 tong gas petroleum cecair (LPG) disyaki cuba diseleweng berjaya dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam serbuan di sebuah ladang kelapa sawit di Kuala Ketil, Kedah.
- KPDN Kedah merampas tong gas LPG disyaki diseleweng dalam serbuan; tindakan penguatkuasaan dijalankan oleh unit penguat kuasa.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961; hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun bagi kesalahan pertama.
- KPDN memberi amaran tegas terhadap cubaan menyeleweng subsidi; tindakan tanpa kompromi dan seruan sokong Gerakan KITA GEMPUR.
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 12 tengahari itu telah menemui 29 tong gas LPG berkapasiti 14 kilogram dan 10 tong gas LPG berkapasiti 50 kilogram.
Kesemua tong gas itu disita dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM57,638.
Serbuan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Penguat Kuasa Kementerian KPDN Alor Setar.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) kerana memiliki barang kawalan tanpa permit menyimpan.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau dipenjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.Manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
KPDN Kedah memberi amaran tegas terhadap sebarang cubaan oleh mana-mana pihak, sama ada individu mahupun sindiket yang cuba menyeleweng subsidi negara yang merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap kepentingan rakyat dan negara. Tindakan penguatkuasaan paling tegas akan diambil tanpa kompromi.
KPDN Kedah turut menyeru sama ada pengguna, peniaga mahupun pihak industri atau mana-mana organisasi agar bersama-sama menyokong Gerakan Membasmi Manipulasi dan Ketirisan (KITA GEMPUR) demi manfaat bersama.