PGA rampas 74,650 batang rokok tidak bercukai

Antara 74,650 batang rokok putih dan kretek yang dirampas PGA di Marang, Terengganu

KUALA TERENGGANU, 18 Ogos – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas 74,650 batang rokok putih dan kretek disyaki tidak bercukai bernilai lebih RM140,000 dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Kampung Alor Limbat, Bukit Payung, di Marang pada Ahad lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun ditahan semasa serbuan.
  • Pemeriksaan menemui ruang simpanan khas tersembunyi di dalam almari mengandungi rokok putih dan kretek disyaki tidak bercukai.
  • Suspek dan barang dirampas diserahkan kepada BSJD Marang, disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun turut ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 3 petang itu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut di rumah kedai itu menemukan ruang simpanan khas yang disorokkan di dalam almari.

“Pemeriksaan menemukan 60,250 batang rokok putih dan 14,400 batang rokok kretek yang disyaki tidak bercukai.

“Tempat penyimpanan khas itu dipercayai digunakan untuk menyembunyikan rokok berkenaan daripada dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Ahmad Radzi berkata, rokok putih yang dirampas dianggarkan bernilai RM112,667.50, manakala rokok kretek bernilai RM29,520.

Katanya, keseluruhan rampasan bernilai RM142,187.50.

“Suspek bersama kesemua barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Marang untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.