Rodri tiba di Barcelona, lengkapkan perpindahan ‘impian’

Foto REUTERS

PARIS, 18 Ogos – Kapten Sepanyol yang menjulang trofi Piala Dunia, Rodri tiba di Barcelona pada Isnin untuk menandatangani kontrak bersama juara La Liga itu, sekali gus menamatkan salah satu ‘saga’ perpindahan terbesar musim panas ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rodri menyasarkan Liga Juara-Juara dan apa sahaja boleh dicapai bersama Barcelona.
  • Pemenang Ballon d'Or 2024.
  • Perpindahan disepakati sekitar 75 juta euro menurut media Catalan.
  • Bergelut dengan kecederaan dua musim, namun menyerlah membantu Sepanyol menjuarai Piala Dunia.

“Saya sangat gembira berada di sini. Beberapa hari kebelakangan ini agak sibuk, tetapi saya lega semuanya sudah selesai. Sudah tentu, bermain untuk Barcelona adalah impian.

“Saya tidak sabar untuk bersama rakan sepasukan. Saya sudah mengenali ramai daripada mereka menerusi skuad kebangsaan. Kini tiba masanya untuk mula bekerja dan memberikan segala-galanya,” kata pemain tengah berusia 30 tahun itu kepada pemberita yang menunggunya di lapangan terbang.

Menurut Rodri, sasarannya bersama Barca adalah Liga Juara Eropah dan apa sahaja yang mampu “dicapai”.

Pemenang Ballon d’Or 2024 itu tiba di Barcelona sehari selepas Manchester City dan kelab yang bakal menjadi majikannya mencapai persetujuan mengenai yuran perpindahan sekitar 75 juta euro (AS$87 juta), menurut media Catalan.

Sumber dalam Barcelona memberitahu AFP pada Ahad bahawa perpindahan itu akan dimuktamadkan “dalam tempoh beberapa hari akan datang”.

Rodri bergelut dengan masalah kecederaan sepanjang dua musim lalu, namun menyerlah ketika membantu Sepanyol menjuarai Piala Dunia kedua mereka di Amerika Utara, bulan lalu.

Selepas tujuh tahun sarat dengan kejayaan bersama Manchester City, bekas pemain Atletico Madrid dan Villarreal itu sebelum ini dilaporkan hampir menyertai Real Madrid, namun akhirnya memilih untuk menyarung jersi seteru utama kelab berkenaan. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.