Cardiff ikat Wrexham 1-1, Colwill muncul wira

Pemain Cardiff City, Rubin Colwill (kanan) diasak pemain Wrexham, Lewis O’Brien dalam aksi di Cardiff City Stadium, Cardiff, Wales pada Isnin/Reuters

LONDON, 18 Ogos- Cardiff City menyamakan kedudukan pada masa kecederaan untuk mengikat Wrexham 1-1 dalam aksi Liga Kejuaraan England di Cardiff, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rubin Colwill muncul wira selepas meledak sepakan percuma menarik pada masa kecederaan, mencetuskan sambutan meriah penyokong.
  • Kieffer Moore membuka jaringan seawal minit ketiga dengan penyudah sukar dalam kotak penalti Cardiff.
  • Pemilik Wrexham Ryan Reynolds dan Rob McElhenney kecewa selepas harapan mereka mara ke Liga Perdana berdepan halangan.

Rubin Colwill muncul wira Cardiff apabila meledak sepakan percuma dari pinggir kotak penalti pada penghujung masa tambahan, sekali gus mencetuskan sambutan meriah penyokong tuan rumah.

Wrexham terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit ketiga menerusi Kieffer Moore yang menyudahkan peluang dari sudut sukar dalam kotak penalti Cardiff.

Penjaga gol Wrexham, Anthony Patterson yang membuat penampilan sulung selepas menyertai kelab itu dari Sunderland sempat menyentuh rembatan Colwill dengan kedua-dua tangan namun gagal menghalang bola daripada menerjah gawang.

Wrexham hampir membawa pulang tiga mata sebelum jaringan lewat Colwill memusnahkan harapan skuad kendalian Phil Parkinson untuk membuka kempen dengan kemenangan.

Keputusan itu mengecewakan pemilik Wrexham, Ryan Reynolds dan Rob McElhenney, yang sebelum ini menyatakan hasrat membawa kelab berkenaan ke Liga Perdana Inggeris musim ini.

Wrexham sebelum ini mencatat tiga kenaikan divisyen berturut-turut membawa kelab itu daripada saingan bukan liga ke Liga Kejuaraan sebelum terlepas peluang ke saingan play-off musim lalu.

Cardiff pula kembali beraksi dalam Liga Kejuaraan selepas mendapat promosi dari Liga Satu dengan persembahan bertenaga skuad kendalian Brian Barry-Murphy menunjukkan mereka mampu bersaing dalam divisyen kedua. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.