Lapan tan pakaian terpakai ringankan beban Orang Asli di Gua Musang

Penduduk memilih pakaian terpakai yang telah diasingkan mengikut saiz / Foto FB Mohd Syahbuddin Hashim

GUA MUSANG, 17 Ogos – Sebanyak lapan tan pakaian terpakai diagihkan kepada penduduk Orang Asli di lapan penempatan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program sumbangan memasuki tahun kedua dan mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.
  • Pakaian disusun dan dibungkus mengikut saiz, dari kanak-kanak hingga dewasa.
  • Barangan dikumpul di Pusat Khidmat ADUN Galas serta Persatuan Kebajikan Asnaf Gua Musang sebelum pengagihan.
  • Penduduk menyambut baik, terharu dan berterima kasih kerana meringankan beban keluarga yang sukar membeli pakaian.

Program hasil sumbangan orang ramai berkenaan memasuki tahun kedua pelaksanaannya, selepas mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Datuk Mohd Syahbuddin Hashim berkata, lapan penempatan Orang Asli yang menerima bantuan pakaian kali ini adalah Pos Hau, Pos Balar, Pos Belatim, Pos Bihai, Pos Brooke, Pos Blau, Pos Tuel dan Kuala Betis.

“Hampir lapan tan baju yang disumbangkan kenalan dari seluruh negara. Sambutan daripada penduduk kampung juga sangat baik.

“Baju yang diterima ini terlebih dahulu dipilih dan dibungkus mengikut saiz, termasuk pakaian untuk kanak-kanak hingga dewasa,” katanya selepas menyampaikan bantuan pakaian di Kampung Ladoi, Pos Hau di sini.

Pakaian terpakai itu dikumpulkan di Pusat Khidmat ADUN Galas dan Persatuan Kebajikan Asnaf Gua Musang (PEKA GM) sebelum dipilih mengikut saiz dan diagihkan kepada penduduk setempat.

Penduduk Kampung Ladoi, Anor Aznan berkata, bantuan berkenaan amat dihargai kerana memberi peluang kepada keluarganya mendapatkan pakaian untuk kegunaan harian.

“Kita bangga sangat YB datang sini. Baju untuk saya dan anak. Anak ada 13 orang, semua ada baju. Terima kasih YB bawa baju sukan. Lain kali kita nak macam ini juga,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Nora Ahmad berkata, program itu memberi kegembiraan kepada penduduk kerana mereka berdepan kesukaran mendapatkan pakaian, khususnya untuk keluarga.

“Perasaan gembira dan terharu. Sebelum ini NGO ada buat program macam ini, tetapi sekarang sudah tiada. Kalau kita hendak keluar beli baju memang susah,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.