Pengantarabangsaan meningkatkan citra universiti

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Peningkatan kualiti pendidikan dan penyelidikan yang menaikkan reputasi universiti di peringkat nasional dan antarabangsa.
  • Peluang mobiliti pelajar dan pensyarah memperluas pengalaman, kemahiran komunikasi dan jaringan akademik global.
  • Pengantarabangsaan memperkukuh kemampanan kewangan melalui yuran pelajar antarabangsa, geran penyelidikan dan program bersama.

Pengantarabangsaan universiti ialah proses menjadikan sesebuah universiti lebih terbuka, kompetitif dan berhubung di peringkat global. Ia melibatkan usaha untuk mengintegrasikan elemen antarabangsa ke dalam semua aspek universiti seperti pengajaran, penyelidikan, pentadbiran, khidmat masyarakat dan pengalaman pelajar.

Strategi pengantarabangsaan yang berkesan mampu memberikan 1001 kebaikan kepada universiti dari segi kemampanan kewangan, keterserlahan, reputasi dan penarafan, kualiti graduan, kebolehpasaran, pemerkasaan penyelidikan, pengiktirafan kepakaran, pengembangan jaringan dan banyak lagi.

Dalam era globalisasi ini, universiti tidak lagi berfungsi dalam skop tempatan semata-mata, sebaliknya perlu bersaing dan berinteraksi secara aktif di peringkat antarabangsa.

Hal ini penting bagi memastikan universiti kekal relevan serta mampu menghasilkan graduan yang berdaya saing di peringkat dunia dan yang paling penting mempunyai reputasi yang baik di dalam dunia akademik.

Selain daripada itu pengantarabangsaan juga mampu mengukuhkan kewangan universiti. Kewangan yang stabil ini membantu universiti menyediakan prasarana yang terbaik, peralatan pengajaran yang berteknologi terkni, peralatan makmal penyelidikan yang canggih dan menyokong aktiviti pelajar yang berimpak.

Secara ringkas, pengantarabangsaan universiti merujuk kepada strategi universiti untuk menarik pelajar antarabangsa, menghantar pelajar tempatan ke luar negara, mampu menjalin kerjasama penyelidikan global dan usaha mengambil pensyarah atau penyelidik antarabangsa.

Selain itu pengantarabangsaan juga merujuk usaha menghantar pensyarah/penyelidik untuk bersabatikal dan sangkutan di universiti luar negara, menawarkan program akademik bertaraf antarabangsa, menawarkan kursus pendek diperingkat global. Beberapa bentuk utama pengantarabangsaan antaranya:

• Mobiliti pelajar: Pertukaran pelajar antara universiti luar negara
• Sangkutan akademia: Pertukaran pensyarah dalam menimba pengalaman baru dalam pengajaran dan penyelidikan.
• Program dwi-ijazah: Program yang diiktiraf oleh dua universiti berbeza negara
• Kerjasama penyelidikan: Projek penyelidikan bersama institusi luar negara
• Kurikulum antarabangsa: Kandungan kursus yang memenuhi standard global
• Kampus cawangan luar negara: Universiti membuka kampus di negara lain.
• Pejabat satelit: Perwakilan universiti di beberapa universiti dalam melancarkan kolaborasi antara universiti.

Antara kepentingan utama daripada pengantarabangsaan universiti ialah:

1. Peningkatan kualiti pendidikan dan penyelidikan

Salah satu kepentingan utama pengantarabangsaan universiti ialah peningkatan kualiti akademik. Melalui kerjasama dengan universiti luar negara, pensyarah dan penyelidik dapat bertukar idea, kaedah pengajaran, serta teknologi terkini.

Disamping itu, pensyarah juga didedahkan dengan kemudahan dan teknologi moden seperti makmal dan peralatan canggih yang disediakan di universiti hos. Gandingan para akademia ini membuka ruang dan peluang untuk permohonan geran dalam dan luar negara.

Contohnya, penyelidikan bersama antara Universiti Malaya dengan institusi luar negara dapat menghasilkan kajian yang lebih berkualiti serta mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Keadaan ini secara tidak langsung meningkatkan reputasi universiti di persada global.

Antaranya melaksanakan pelbagai program kerjasama antarabangsa seperti Global Networks, International Research Collaboration, dan program mobiliti penyelidik dengan universiti luar negara.

Selain itu, kerjasama strategik antara Universiti Malaya dengan Universiti Tokyo dalam bidang kecerdasan buatan, tenaga hijau dan semikonduktor telah menghasilkan penyelidikan yang berkualiti tinggi serta mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Keadaan ini secara tidak langsung meningkatkan reputasi Universiti Malaya di persada global.

2. Peluang mobiliti pelajar dan pensyarah

Pengantarabangsaan juga membuka peluang kepada pelajar dan pensyarah untuk mengikuti program pertukaran di luar negara. Pengalaman belajar di persekitaran berbeza membantu pelajar memahami budaya lain, meningkatkan kemahiran komunikasi, dan membina keyakinan diri.

Contohnya, Universiti Sains Malaysia (USM) menawarkan Erasmus+ International Credit Mobility (ICM) yang membolehkan pelajar dan pensyarah mengikuti pertukaran akademik ke universiti di Eropah.

Selain itu, Student Exchange Programme (SEP) memberi peluang kepada pelajar mengikuti pengajian selama satu atau dua semester di universiti rakan luar negara. Program-program ini meningkatkan pendedahan antarabangsa, memperkukuh jaringan akademik serta mengharumkan nama USM di peringkat global.

3. Peningkatan Kebolehpasaran Graduan

Graduan daripada universiti yang mempunyai jaringan antarabangsa lebih mudah mendapat pekerjaan, sama ada di dalam atau luar negara. Ini kerana mereka mempunyai pendedahan kepada standard pendidikan global, kemahiran insaniah yang tinggi, serta keupayaan berkomunikasi dalam pelbagai bahasa.

Majikan kini lebih cenderung memilih graduan yang mempunyai pengalaman antarabangsa kerana mereka lebih fleksibel dan mudah menyesuaikan diri. Universiti seperti Universiti Kebangsaan Malaysia sering menawarkan program pertukaran pelajar ke Eropah, Asia, dan Timur Tengah. Pengalaman ini menjadikan graduan lebih bersedia menghadapi cabaran global.

Sebagai contohnya, program dwi Ijazah UKM-UDE memperkasakan pengetahuan dan kemiran pelajar melalui program sarjana kejuruteraan 3+1 (3 tahun di Malaysia dan setahun di University of Duisburg-Essen) yang mana diakhir pengajian mereka, pelajar akan menerima dua iajzah daripada setiap universiti.

Ini secara langsung akan meningkatkan kebolehpasaran graduan dan membuka peluang mereka untuk menyambung pengajian atau bekerja di luar negara atau syarikat luar negara yang berpangkalan di Malaysia.

Bagi memastikan isu kos tidak menghalang pelajar, UKM Global menyediakan Student Outbound Mobility Fund untuk membantu membiayai perjalanan pelajar ke universiti, makmal, atau syarikat asing.

4. Pengukuhan Kerjasama Global

Selain itu, pengantarabangsaan membolehkan universiti menjalinkan kerjasama strategik dengan institusi luar negara dalam pelbagai bidang seperti teknologi, perubatan, dan sains sosial.

Contohnya, Universiti Teknologi Malaysia sering terlibat dalam projek penyelidikan kejuruteraan bersama universiti di Jepun dan Eropah. Kerjasama ini bukan sahaja meningkatkan pengetahuan tetapi juga membuka peluang inovasi baharu.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mempunyai jaringan kerjasama antarabangsa yang luas dengan universiti, institusi penyelidikan dan industri di pelbagai negara. Di Asia, UTM bekerjasama dengan universiti terkemuka di Jepun seperti Kyushu University, Tohoku University dan Osaka University, selain institusi di China, Korea Selatan, Singapura dan Indonesia.

Di Eropah, UTM turut menjalin kerjasama dengan universiti seperti KTH Royal Institute of Technology, University of Surrey dan Maastricht University. Kerjasama ini melibatkan penyelidikan bersama, pertukaran pelajar dan staf, penerbitan ilmiah serta pembangunan teknologi.

Selain itu, UTM juga merupakan ahli beberapa rangkaian pendidikan tinggi antarabangsa seperti AUN/SEED-Net, World Technological Universities Network (WTUN), University Mobility in Asia and the Pacific (UMAP) dan Erasmus+, yang membantu memperkukuh reputasi serta daya saing UTM di peringkat global.

5. Kemampanan Kewangan Universiti

Program pengantarabangsaan merupakan strategi penting untuk menjana pendapatan dan mengukuhkan kelestarian kewangan universiti. Antara sumber utama ialah pengambilan pelajar antarabangsa yang menyumbang melalui yuran pengajian, penginapan dan pelbagai perkhidmatan universiti.

Selain itu, universiti juga menjana pendapatan melalui kerjasama akademik antarabangsa seperti program Joint Degree, Dual Degree dan Double Degree, yang meningkatkan daya tarikan program serta memperluaskan pasaran pendidikan.

Program mobiliti pelajar, sekolah musim panas dan latihan profesional antarabangsa turut menghasilkan pendapatan melalui yuran penyertaan dan penggunaan kemudahan universiti.

Pengantarabangsaan juga membuka peluang memperoleh geran penyelidikan antarabangsa, menjalankan projek konsultansi, menganjurkan persidangan antarabangsa serta mengkomersialkan hasil penyelidikan dan inovasi.

Di samping meningkatkan reputasi global, inisiatif ini membantu mempelbagaikan sumber pendapatan universiti dan mengurangkan kebergantungan kepada pembiayaan kerajaan.

Sebagai contohnya, UPM menjana pendapatan melalui pelbagai program pengantarabangsaan seperti PUTRA Experience Summer Programme (PESP), yang menawarkan program akademik jangka pendek kepada pelajar antarabangsa.

Selain itu, Program Mobiliti Inbound dan Outbound (i-PUTRA) serta Program Mobiliti Pascasiswazah (SMP) menyumbang kepada penjanaan kewangan melalui yuran penyertaan, penginapan dan penggunaan kemudahan universiti.

Di samping itu, kerjasama akademik antarabangsa seperti program Joint Degree, Dual Degree dan penyelidikan bersama membantu menarik lebih ramai pelajar antarabangsa serta memperoleh geran penyelidikan, sekali gus memperkukuh sumber pendapatan universiti.

UPM mempunyai beberapa program dual degree yang menarik antaranya; Kyushu Institute of Technology – Program Double Master dan PhD dalam bidang kejuruteraan, sains komputer dan sains hayat. Maejo University – Program berkaitan pertanian, sains makanan dan teknologi makanan.

University of Newcastle – Program Joint PhD dalam pelbagai bidang penyelidikan. Sharif University of Technology – Program Master dan PhD dalam bidang sains, kejuruteraan dan perniagaan. University of Nottingham (UK): Program Dual PhD Degree dalam bidang kejuruteraan, sains hayat, sains komputer, ekonomi, dan bahasa.

6. Cabaran Pengantarabangsaan

Walaupun bergunung manfaat diperolehi daripada pengantarabangsaan universiti, ia turut menghadapi beberapa cabaran antaranya ialah kos yang tinggi untuk menjalankan program antarabangsa, perbezaan budaya dan bahasa, serta persaingan sengit antara universiti di seluruh dunia.

Selain itu, universiti juga perlu memastikan identiti dan nilai tempatan tidak terhakis dalam usaha mengejar standard global. Kehadiran pelajar-pelajar luar negara juga tidak boleh mengganggu peluang dan tempat pelajar-pelajar tempatan.

Kesimpulan

Pengantarabangsaan merupakan strategi penting dalam meningkatkan citra (imej dan reputasi) sesebuah universiti di peringkat nasional dan antarabangsa.

Melalui pengantarabangsaan, universiti dapat, meningkatkan kualiti akademik, mengukuhkan struktur kewangan, memperluas jaringan kerjasama dengan menarik minat pelajar, penyelidik dan industri dari seluruh dunia melalui program mobiliti dan sangkutan.

Bagi universiti penyelidikan di Malaysia, usaha pengantarabangsaan telah memperkukuh kedudukannya sebagai sebuah universiti penyelidikan yang diiktiraf di peringkat global melalui penarafan-penarafan penting.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Prof Ir Dr Mohd Syuhaimi Ab Rahman
Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina
Universiti Kebangsaan Malaysia
E-mel: syuhaimi@uk.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.