16 usahawan Perlis ke MAHA 2026, sasar nilai jualan RM550,000

Foto RTM

KANGAR, 15 Ogos — Seramai 16 usahawan berjaya dipilih untuk mewakili Negeri Perlis ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang akan berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September ini di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), Serdang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sasar nilai jualan keseluruhan sebanyak RM550,000 melalui penyertaan di MAHA 2026.
  • Pavilion Perlis mengetengahkan hampir 51 jenis produk, termasuk produk Harumanis, kuih tradisional dan produk hiliran IMAT.
  • MAHA menjadi platform strategik untuk perkenalkan produk Perlis, bina jenama, buka kerjasama dan tingkatkan pendapatan usahawan.
  • FAMA Perlis komited memperkasa usahawan melalui latihan, penjenamaan, pembungkusan, akses pasaran domestik dan digital serta pengukuhan jaringan.

Daripada jumlah itu, 13 usahawan akan menyertai Pavilion Perlis, seorang dalam Segmen Agribusiness dan dua lagi dalam Segmen Empayar Makanan, dengan sasaran nilai jualan keseluruhan sebanyak RM550,000.

Pengarah FAMA Negeri Perlis, Mohd Anzara Azizan berkata, penyertaan di Pavilion Perlis melibatkan gabungan produk Industri Makanan dan Asas Tani (IMAT) serta pelbagai makanan popular yang menjadi identiti negeri berkenaan.

Menurutnya, penyertaan kali ini turut membabitkan pertubuhan dan koperasi termasuk Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA dan Koperasi Pemulihan Dalam Komuniti Anak Istimewa Perlis Berhad (KOANIPS).

“Bagi edisi MAHA 2026, Perlis akan mengetengahkan hampir 51 jenis produk, antaranya produk hiliran Harumanis, pekasam, kuih tradisional, aiskrim Harumanis, minuman berasaskan walit, dodol gula nipah, pulut kucai serta pelbagai produk inovasi usahawan tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Libat Urus dan Persediaan Usahawan Negeri Perlis ke MAHA 2026 di Pejabat FAMA Negeri Perlis, di sini.

Selain produk makanan, Perlis turut mengetengahkan menu warisan dan makanan yang menjadi identiti negeri itu seperti Laksa Perlis, Bihun Sup, Pulut Udang, Pulut Mangga, Nasi Ulam Warisan Perlis dan Minuman Cerek Klasik.

Turut diperkenalkan ialah menu baharu seperti Nasi Goreng Pop Yeh-Yeh serta makanan eksotik Perlis yang kini mendapat perhatian ramai, iaitu Belangkas Bakar oleh Ghatah Siput Bakaq.

Mohd Anzara berkata, penyertaan ke MAHA 2026 bukan sekadar memberi peluang kepada usahawan menjana pulangan jualan, malah menjadi platform strategik untuk memperkenalkan produk keluaran Perlis ke pasaran lebih luas.

Katanya, platform itu juga berupaya membantu usahawan membina jenama yang lebih kukuh, membuka peluang kerjasama baharu, meningkatkan pendapatan serta memperkukuh imej Perlis sebagai negeri agromakanan yang progresif dan berdaya saing.

“FAMA Perlis akan terus komited dalam memperkasa usahawan menerusi pembangunan kapasiti, latihan dan bimbingan, penjenamaan produk, pemerkasaan pembungkusan, akses kepada pasaran domestik dan digital serta pengukuhan jaringan strategik bersama pelbagai pihak berkepentingan,” katanya.

Semua usahawan yang menyertai MAHA 2026 turut diingatkan supaya memastikan kualiti produk, kebersihan, penampilan gerai, perkhidmatan pelanggan dan integriti perniagaan sentiasa berada pada tahap terbaik sepanjang pameran berlangsung.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.