
WASHINGTON, 15 Ogos – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Jumaat berkata beliau berhasrat mengisytiharkan Selat Hormuz sebagai wilayah AS tidak lama lagi, lapor Anadolu Ajansi (AA).
- Trump menegaskan sekatan AS terhadap Selat Hormuz masih berkuatkuasa, mendakwa tiada kapal boleh melaluinya tanpa kebenaran AS.
- Pegawai tentera Iran menafikan AS menguasai Selat Hormuz dan menyifatkan dakwaan itu sebagai pembohongan tidak berasas.
- AS dan Iran pernah bersetuju gencatan senjata dan memulakan rundingan, tetapi rundingan tergendala berhubung jaminan keselamatan dan kebebasan pelayaran.
“Selepas kami selesai mengalahkan Iran, yang kini mengalami kekalahan teruk, tidak lama lagi saya akan mengisytiharkan Selat Hormuz sebagai wilayah Amerika Syarikat,” kata Trump di Akademi Polis Kaunti Nassau yang baharu di Garden City, New York.
Trump turut berkata sekatan AS ke atas laluan air strategik itu masih berkuat kuasa, dengan mendakwa bahawa “tiada kapal boleh melaluinya melainkan kami membenarkannya.”
Beliau mendakwa perang itu telah menghapuskan sebahagian besar barisan kepimpinan Iran sambil menambah: “Itu antara masalah yang saya hadapi: tiada sesiapa untuk berunding.”
“Ini satu masalah. Saya kata, ‘Adakah anda pasti orang ini okey?’ Ini satu-satunya negara di dunia yang tiada siapa mahu menjadi presiden,” kata Trump.
Mengenai kenaikan harga petrol susulan perang itu, Trump berkata: “Jadi, jika anda perlu membayar lebih sedikit untuk petrol, ingatlah bahawa anda berbuat demikian supaya sebuah negara yang sangat jahat — negara penaja keganasan utama di dunia — tidak memiliki senjata nuklear.”
Bagaimanapun, pegawai tentera Iran menolak dakwaan bahawa AS menguasai laluan air itu, dengan markas pemerintahan pusat tentera Iran pada Khamis menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai “pembohongan dan rekaan tidak berasas.”
Setakat 12 Ogos, dalam tempoh 166 hari sejak perang bermula, sebanyak 3,371 kapal telah melalui selat itu, kira-kira 20 peratus daripada jumlah trafik sebelum perang, menurut data Kpler, sebuah syarikat analitik data komoditi dan perkapalan yang dipetik CNN.
AS dan Iran bersetuju dengan gencatan senjata hasil pengantaraan Pakistan pada April lepas dan kemudian menandatangani perjanjian pada 17 Jun, sekali gus memulakan rundingan ke arah mencapai perjanjian muktamad.
Rundingan itu kemudiannya tergendala susulan perbezaan pendirian mengenai jaminan keselamatan dan kebebasan pelayaran melalui Selat Hormuz, antara laluan paling strategik bagi bekalan tenaga dan perdagangan global.
Dari 8 hingga 24 Julai, AS dan Iran saling berbalas serangan ketenteraan, dengan Washington melancarkan serangan terhadap sasaran di Iran.
Tehran membalas dengan menyerang apa yang disifatkannya sebagai kemudahan dan peralatan tentera AS di beberapa negara Arab termasuk Jordan, Bahrain dan Kuwait.- BERNAMA-ANADOLU