
PUTRAJAYA, 14 Ogos – Tindakan undang-undang tegas perlu dikenakan terhadap mana-mana pihak yang gagal menghormati Jalur Gemilang, termasuk memasangnya secara terbalik atau menggunakan bendera yang tidak cukup sifat.
- Penguatkuasaan berkesan diperlukan supaya kesalahan penggunaan Jalur Gemilang tidak berulang.
- AKM menggerakkan penerangan dan pendidikan tatacara penggunaan bendera bagi menyemai rasa hormat dan patriotisme.
- Jalur Gemilang merupakan lambang maruah dan identiti negara yang mesti dijaga setiap rakyat.
- Amaran atau denda sahaja tidak mencukupi; ketegasan undang-undang perlu disepadukan dengan advokasi dan pendidikan.
Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Datuk Dr Roslan Hussin berkata, tindakan itu penting bagi memastikan kesalahan sama tidak terus berulang, selain meningkatkan kesedaran masyarakat untuk menghormati lambang negara.
Menurut beliau, AKM sentiasa memberikan penerangan dan pendidikan mengenai tatacara penggunaan Jalur Gemilang, namun usaha itu perlu disokong penguatkuasaan berkesan oleh pihak berkuasa.
“Sekiranya penguatkuasaan dipandang sepi, perkara ini akan terus berulang dari semasa ke semasa.
“AKM sangat berharap agar pihak-pihak tertentu memberikan perhatian serius terhadap perkara ini,” katanya pada sidang media Program Khas Aku Kasih Malaysia: Kesejahteraan Dinikmati, di sini.
Tambah beliau, Jalur Gemilang merupakan lambang maruah dan identiti negara yang perlu dijaga serta dipelihara sebaik-baiknya oleh setiap rakyat Malaysia.
Justeru, setiap komponen pada bendera kebangsaan perlu diberikan perhatian, sama ada dalam bentuk cetakan, sulaman atau apa-apa medium paparan.
Dalam pada itu, Datuk Dr Roslan berpandangan tindakan berbentuk amaran atau denda masih belum mencukupi untuk membendung kesalahan berkenaan.
Katanya, ketegasan undang-undang perlu seiring dengan usaha advokasi dan pendidikan, terutama ketika setiap negara semakin menitikberatkan identiti serta nilai kenegaraan masing-masing.
Pada masa sama, beliau memaklumkan AKM telah melaksanakan lebih 2,000 program di bawah inisiatif Aku Kasih Malaysia sejak dilancarkan tahun lalu, dengan tumpuan menyemai rasa cinta akan negara serta memperkukuh semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.