
MELAKA, 13 Ogos – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjangkakan lebih 10,000 pengunjung bakal memeriahkan Karnival Mini KPDN Peringkat Negeri Melaka yang berlangsung selama tiga hari bermula esok hingga Ahad di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini.
- Program Jualan RAHMAH MADANI tawar barangan keperluan pada harga rendah, membantu meringankan beban perbelanjaan isi rumah.
- Pengunjung boleh melawat reruai pameran, mendapatkan khidmat nasihat dan menyertai sesi padanan perniagaan.
- Aktiviti termasuk kejohanan sukan elektronik, jualan makanan, pertandingan mewarna, persembahan artis serta pameran kereta antik dan motosikal klasik.
- Karnival platform memperkenalkan peranan KPDN dalam perlindungan pengguna, pemantauan harga, penguatkuasaan undang-undang dan menangani kos sara hidup.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, penganjuran karnival itu merupakan antara usaha kementerian mendekatkan pelbagai inisiatif, perkhidmatan dan program KPDN kepada masyarakat menerusi pendekatan lebih santai, interaktif serta mesra rakyat.
“Antara tarikan utama ialah Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) yang memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian pada harga rendah, sekali gus membantu meringankan perbelanjaan isi rumah.
“Kehadiran PJRM dalam karnival ini membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat mengenai inisiatif kerajaan dan merasai secara langsung manfaat program yang dilaksanakan KPDN dalam membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga yang lebih berpatutan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, pengunjung berpeluang mengunjungi pelbagai reruai pameran, mendapatkan khidmat nasihat serta menyertai sesi padanan perniagaan yang disediakan sepanjang karnival.
Karnival turut dimeriahkan dengan kejohanan sukan elektronik hasil kerjasama Todak, jualan Menu RAHMAH oleh peniaga trak makanan, pertandingan mewarna kanak-kanak, persembahan artis serta pameran kereta antik dan motosikal klasik.
Pelbagai aktiviti pentas dan kekeluargaan turut disediakan bagi memastikan karnival itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pengunjung, malah menawarkan pengalaman menyeronokkan kepada masyarakat daripada pelbagai peringkat umur.
Datuk Dr Fuziah berkata, karnival berkenaan turut menjadi platform untuk memperkenalkan dengan lebih dekat peranan dan fungsi KPDN kepada masyarakat, khususnya dalam aspek perlindungan pengguna, pemantauan harga, penguatkuasaan undang-undang serta usaha menangani kos sara hidup.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan kehadiran masyarakat setempat dan orang ramai untuk bersama-sama memeriahkan Karnival Mini KPDN Melaka yang berlangsung dari 10 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu, manakala pada Ahad dari 10 pagi hingga 6 petang.