Seludup rokok putih: Sindiket ikrar selipar, peralatan bilik tidur

Foto RTM

SEPANG, 13 Ogos Sebanyak 1.53 juta batang rokok putih bernilai RM270,600 melibatkan jumlah duti dan cukai mencecah RM1.07 juta dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), akhir bulan lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua serbuan berasingan mendapati rokok diisytihar sebagai peralatan bilik tidur dan selipar untuk mengaburi pihak berkuasa.
  • 29 Julai: 410,000 batang rokok ditemui dalam gudang Zon Perdagangan Bebas, tiba dalam muatan udara dari negara Asia Barat.
  • 30 Julai: 1.12 juta batang rokok dirampas dalam gudang yang diisytihar sebagai selipar, dipercayai untuk transit ke negara Oceania.
  • Kedua-dua kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan syarikat penghantar dipanggil membantu siasatan.

Pengarahnya, Aspalila Ag Tuah berkata rampasan dilakukan menerusi dua serbuan berasingan yang masing-masing diikrar palsu sebagai peralatan bilik tidur dan selipar.

Katanya, kes pertama pada 29 Julai membabitkan 410,000 batang rokok putih yang ditemukan dalam sebuah gudang di Zon Perdagangan Bebas KLIA.

“Hasil pemeriksaan rapi oleh anggota menemukan sebanyak 410,000 batang rokok putih yang disyaki tidak berkastam. Ia dirampas melalui satu bil muatan udara yang tiba di Malaysia dari salah sebuah negara di Asia Barat,” katanya.

Rokok berkenaan bernilai RM102,000 dengan duti dan cukai sebanyak RM290,152.

“Siasatan mendapati dagangan itu diikrar sebagai peralatan bilik tidur dipercayai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan daripada dikenakan permit import,” ujarnya lagi.

Beliau berkata pada 30 Julai, pihaknya merampas 1.12 juta batang rokok putih dari sebuah gudang di zon sama yang diikrar sebagai selipar bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Rokok berkenaan tiba dari sebuah negara di Asia untuk tujuan transit dan dipercayai akan dihantar ke sebuah negara Oceania. Ia bernilai RM168,000 dengan duti dan cukai RM786,400,” tambah beliau.

Kedua-dua kes masih dalam siasatan, manakala syarikat pengendali penghantaran barang dagangan telah dipanggil bagi membantu siasatan.

Kes pertama disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967, manakala kes kedua mengikut Seksyen 35D(2) akta sama.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.