
PUTRAJAYA, 13 Ogos – Penang International Logistics Aeropark (PILA) bakal meningkatkan kapasiti pengendalian kargo udara secara signifikan, sekali gus memperkukuh kemudahan logistik di wilayah utara.
- Projek kerjasama antara Malaysia Airports Holdings Berhad dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang kini sedang dalam pembinaan.
- Terletak bersebelahan hab kargo Pulau Pinang sedia ada, dibangunkan sebagai kompleks logistik udara lanjutan.
- Kerajaan bertindak sebagai pemudah cara manakala pelaburan pembangunan dilaksanakan sepenuhnya oleh MAHB.
- Pembangunan menyokong pelebaran koridor udara dan pengendalian produk bernilai tinggi seperti semikonduktor.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata projek berkenaan merupakan peluasan hab kargo udara sedia ada di Pulau Pinang dengan kapasiti lebih besar.
Menurutnya, projek kerjasama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) itu sedang dalam pembinaan.
“Kita akan melancarkannya dalam masa terdekat, namun kerja pembinaan sebenarnya sudah bermula. Kita telah menjemput Perdana Menteri untuk melancarkan projek kerjasama antara MAHB dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang ini.
Ia terletak bersebelahan hab kargo Pulau Pinang sedia ada dan merupakan peluasan lanjut untuk dibangunkan sebagai sebuah kompleks logistik udara Pulau Pinang,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan Tahun 2026 dan Pelancaran Bulan Kebangsaan kementerian itu di sini.
Jelasnya lagi, kerajaan bertindak sebagai pemudah cara, manakala pelaburan bagi pembangunan hab kargo udara itu dilaksanakan sepenuhnya oleh MAHB.
Pembangunan kompleks berkenaan juga menyokong usaha kementerian memperluas koridor udara serta memperkukuh infrastruktur kargo di hab serantau, khususnya bagi pengendalian produk bernilai tinggi seperti semikonduktor.