Rundingan AS-Iran buntu, ketegangan di Asia Barat kian memuncak

Foto REUTERS

DUBAI, 13 Ogos – Rundingan antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) untuk menamatkan perang di Asia Barat secara berkekalan masih menemui jalan buntu, ketika serangan baharu terhadap kapal dagang di rantau itu semakin memuncak sekali gus mencertuskan kebimbangan terhadap konflik yang semakin berpanjangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perjanjian sementara Jun untuk menamatkan operasi ketenteraan dibatalkan selepas Presiden AS mengisytiharkan ia tamat pada 7 Julai.
  • AS menuduh Iran gagal buka semula laluan perkapalan Selat Hormuz; Iran tuntut penggantungan sekatan dan pembebasan aset dibekukan.
  • Serangan Houthi di Selat Bab el-Mandeb meragut empat nyawa; gangguan di Selat Hormuz ancam satu perlima aliran minyak dunia dan harga naik.

Sumber pegawai kanan Iran berkata tiada kemajuan dicapai dalam usaha menghidupkan semula perjanjian sementara yang dipersetujui pada Jun, termasuk menetapkan tempoh pelaksanaan komitmen kedua-dua pihak.

Perjanjian itu sebelum ini menetapkan “penamatan serta-merta dan kekal operasi ketenteraan di semua medan”, namun terbatal selepas Presiden AS, Donald Trump, mengisytiharkannya tamat pada 7 Julai.

Manakala Kementerian Luar Iran menyifatkannya sebagai digantung seminggu kemudian.

Sumber itu berkata antara perkara yang dibincangkan menerusi pihak perantara ialah usaha AS kembali kepada perjanjian sementara berkenaan serta menetapkan tempoh untuk melaksanakan komitmen yang dipersetujui.

“Tiada kemajuan langsung mengenai isu ini,” katanya kepada Reuters.

Washington menuduh Tehran gagal mematuhi komitmen untuk membuka semula laluan perkapalan penting di Selat Hormuz, manakala Iran mendakwa AS mengingkari janji termasuk menarik balik sekatan terhadap pelabuhannya dan membebaskan aset Iran yang dibekukan.

Ketegangan turut meningkat selepas Iran memberi amaran Selat Hormuz akan kekal ditutup sehingga AS menerima syarat yang ditetapkan Tehran bagi menamatkan perang.

Dalam perkembangan berasingan, serangan terhadap perkapalan di rantau itu pada Selasa turut meragut empat nyawa anak kapal sebuah kapal kargo di Selat Bab el-Mandeb dalam serangan kumpulan Houthi yang disokong Iran.

Selat Hormuz, yang menjadi laluan antara Iran dan Oman serta pintu masuk ke Teluk, sebelum perang mengendalikan kira-kira satu perlima aliran minyak dan gas asli cecair dunia.

Kebimbangan terhadap gangguan bekalan turut menyebabkan harga minyak mentah Brent melonjak sehingga AS$126 setong sejak perang bermula pada Februari, sebelum didagangkan sekitar AS$88 setong pada Rabu. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.