Panel pengampunan veteran ATM kembali beroperasi

Foto RTM

BATU KURAU, 12 Ogos – Panel Pengampunan yang memberi ruang kepada bekas anggota tentera memohon pengiktirafan semula sebagai veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kembali beroperasi selepas ditangguhkan sejak 2024.

RINGKASAN BERITA AI
  • Panel akan meneliti semula kes bekas anggota yang sebelum ini tidak layak mendapat pengiktirafan sebagai veteran.
  • Kesalahan berat dan penyalahgunaan dadah sukar mendapat pengiktirafan semula, manakala kes tatatertib juga sukar diakui.
  • Setiap permohonan dinilai berdasarkan justifikasi dan peraturan sedia ada sebelum sebarang keputusan pengiktirafan dibuat.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Datuk Semaon Marjuki berkata, inisiatif itu akan meneliti semula kes bekas anggota yang sebelum ini tidak layak mendapat pengiktirafan berkenaan.

“Antara yang akan dipertimbangkan termasuk bekas anggota yang ditamatkan perkhidmatan atas kesalahan tertentu, termasuk kesalahan berat dan penyalahgunaan dadah.

“Yang terlibat dengan kes tatatertib, disiplin dan sebagainya, termasuk kes dadah sebagai contoh, memang amat sukar untuk diiktiraf semula,” katanya selepas merasmikan Pusat Dialisis Yayasan Veteran ATM Cawangan Batu Kurau, di sini.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan kesalahan ringan lazimnya tidak menjejaskan status bekas anggota kerana mereka kebiasaannya menamatkan perkhidmatan secara biasa.

Semaon berkata, setiap permohonan akan dinilai berdasarkan justifikasi serta peraturan yang ditetapkan sebelum sebarang keputusan pengiktirafan semula dibuat.

Pembukaan semula Panel Pengampunan itu memberi peluang kepada bekas anggota yang mempunyai kes tertentu untuk dinilai semula mengikut ketetapan dan prosedur yang berkuat kuasa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.