
KUALA LUMPUR, 12 Ogos — Penglibatan wanita perlu diberi perhatian dalam menangani isu perubahan iklim memandangkan peranan mereka dalam institusi keluarga turut memberi kesan kepada pembentukan masyarakat.
- Penglibatan wanita melalui agenda Women, Peace and Security penting untuk menangani isu perubahan iklim dan memastikan suara wanita didengar.
- Wanita sebagai ketua keluarga membimbing ahli keluarga dan menyumbang kepada pembentukan masyarakat serta pembangunan negara.
- Peranan wanita penting memupuk minat generasi muda dalam STEM untuk melahirkan generasi sedia menghadapi cabaran masa depan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perkara itu antara aspek yang diberi perhatian menerusi penglibatan Malaysia dalam agenda Women, Peace and Security sejak dua tahun lalu.
“Selama dua tahun ini, kami terlibat dalam Women, Peace & Security yang memerlukan penglibatan wanita, terutama dalam isu seperti perubahan iklim. Memang penting untuk wanita turut terlibat dalam perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penutup 7th International Sustainable Energy Summit (ISES) 2026 di ibu negara, hari ini.
Menurut Datuk Seri Nancy, wanita yang berperanan sebagai ketua keluarga mempunyai pengaruh besar dalam membimbing ahli keluarga, sekali gus menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang akan terlibat dalam pembangunan negara.
“Wanita biasanya turut memainkan peranan sebagai ketua keluarga dalam membimbing keluarga.
“Daripada keluarga yang dibimbing ini, mereka akan menjadi rakyat yang seterusnya terlibat dalam pembangunan negara,” katanya.
Datuk Seri Nancy juga berkata, wanita turut memainkan peranan penting dalam memupuk minat generasi muda terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Katanya, usaha berkenaan penting bagi membantu melahirkan generasi yang lebih bersedia menghadapi keperluan serta cabaran masa depan.