Bursa Malaysia dibuka tinggi pada sesi dagangan awal

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Rabu, disokong pembelian saham semasa harga rendah berikutan penurunan semalam dan minat belian terhadap saham berwajaran tinggi walaupun sentimen berhati-hati timbil akibat prestasi lemah Wall Street.

RINGKASAN BERITA AI
  • FBM KLCI meningkat 1.19 mata kepada 1,732.65 pada 9.05 pagi.
  • Rakuten Trade: Wall Street ditutup rendah, kebimbangan mengenai Selat Hormuz dan minyak Brent hampir US$95, pelabur menantikan data IHP AS.
  • Pasaran: 162 kaunter untung berbanding 117 rugi; jumlah dagangan 99.51 juta saham bernilai RM63.27 juta.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.19 mata kepada 1,732.65 daripada 1,731.46 semasa ditutup pada Selasa.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 0.01 mata kepada 1,731.47.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 162 berbanding 117 manakala 314 kaunter tidak berubah, 2,194 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 99.51 juta saham bernilai RM63.27 juta.

Rakuten Trade Sdn Bhd dalam nota penyelidikan hari ini memaklumkan bahawa Wall Street ditutup rendah dalam persekitaran kebimbangan bahawa usaha untuk membuka semula Selat Hormuz menemui jalan buntu.

“Justeru, minyak mentah Brent melonjak menghampiri US$95 setong..sekali lagi ,” menurut kenyataan itu.

Firma penyelidikan menyatakan bahawa peniaga juga sedang menunggu pengumuman data Indeks Harga Pengguna (IHP) Amerika Syarikat (AS) lewat hari ini.

“Untuk hari ini, kami menjangkakan penyatuan pasaran akan berterusan dan menjangkakan FBM KLCI diniagakan dalam julat 1,725-1,735,” menurut Rakuten Trade.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank menambah dua sen kepada RM10.58, manakala Public Bank susut satu sen kepada RM5.18, CIMB Group merosot dua sen kepada RM7.87, IHH Healthcare berkurangan tujuh sen kepada RM8.28 dan Tenaga Nasional tidak berubah pada RM14.34.

Bagi saham aktif, MR DIY Group susut dua sen kepada RM1.50, Hextar Healthcare dan Perak Transit tidak berubah masing-masing pada enam sen dan 24 sen, manakala Kinergy Advancement naik setengah sen kepada 42 sen, dan NationGate Holdings menambah satu sen kepada RM1.51.

Saham paling untung menyaksikan UMS Integration naik 12 sen kepada RM7.99, PPB Group meningkat sembilan sen kepada RM9.49, SD Guthrie dan AEON Credit menambah lapan sen masing-masing kepada RM6.99 dan RM5.74, manakala YTL Power International menokok tujuh sen kepada RM4.85.

Bagi saham paling rugi, Nestle menguncup 80 sen kepada RM101.80, Malaysian Pacific Industries susut 54 sen kepada RM47.56, ENRA Group berkurangan 13 sen kepada 72 sen, Allianz Malaysia merosot lapan sen kepada RM22.02 dan UWC turun tujuh sen kepada RM6.61.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 5.69 mata kepada 12,859.92, Indeks FBM Top 100 meningkat 4.63 mata kepada 12,671.46 dan Indeks FBM ACE menambah 8.80 mata kepada 5,178.02, Indeks FBM Emas Syariah susut 1.38 mata kepada 12,702.80 dan Indeks FBM Mid 70 merosot 10.60 mata kepada 18,387.32.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 12.71 mata kepada 20,386.92, Indeks Perladangan menambah 44.66 mata kepada 9,528.66, Indeks Tenaga naik 1.69 mata kepada 774.91, manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.19 mata kepada 187.78. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.