RCI Tabung Haji: Kerajaan diminta jelaskan status bayaran bonus 13 bulan

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Kerajaan diminta menjelaskan status bayaran bonus kepada kakitangan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2010 hingga 2017, termasuk pembayaran sehingga 13 bulan gaji.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan diminta jelaskan status usaha mendapatkan kembali bonus yang dibayar jika didapati tidak mematuhi peraturan, dan pihak bertanggungjawab.
  • Minta semakan berdasarkan kedudukan kewangan sebenar; pertikai asas pengiraan bonus dan sumber keuntungan yang digunakan.
  • Cadangan reformasi RCI perlu dilaksanakan sepenuhnya bagi memperkukuh tadbir urus dan meningkatkan ketelusan pengurusan TH.

Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, perkara itu perlu diberi perhatian susulan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan TH.

Menurutnya, pembayaran bonus berkenaan wajar diteliti berdasarkan kedudukan kewangan sebenar TH pada ketika itu, terutama ketika institusi berkenaan berdepan tekanan kewangan.

“Bagaimana institusi yang sedang menghadapi tekanan kewangan boleh membayar bonus sehingga 13 bulan? Kalau prestasi kewangan sebenar tidak menggambarkan keutamaan keuntungan yang dilaporkan, atas keuntungan manakah bonus tersebut dikira?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Laporan RCI berhubung pengurusan TH di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Young Syefura, laporan RCI mendapati kakitangan TH menerima bonus sehingga 13 bulan gaji sepanjang tempoh berkenaan, manakala bonus khas pada 2014 dilaporkan melibatkan perbelanjaan kira-kira RM74 juta.

Beliau berkata, RCI turut mencadangkan supaya usaha mendapatkan semula bonus yang dibayar kepada pihak tertentu dibuat sekiranya pembayaran berkenaan didapati tidak mematuhi peraturan.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan menjelaskan status usaha berkenaan, termasuk pihak yang bertanggungjawab melaksanakan tindakan susulan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan cadangan reformasi yang dikemukakan RCI perlu dilaksanakan sepenuhnya bagi memastikan tadbir urus dan pengurusan TH diperkukuh serta lebih telus pada masa depan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.