Syed Saddiq persoal tindakan Ahli Parlimen pembangkang keluar Dewan Rakyat

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan tindakan Ahli Parlimen pembangkang yang bertindak keluar dewan memboikot perbahasan pembentangan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH).

RINGKASAN BERITA AI
  • Parlimen tidak patut berhenti hanya kerana Perdana Menteri sakit; tugas wakil rakyat harus diteruskan.
  • Memboikot perbahasan RCI TH adalah pengkhianatan terhadap amanah jutaan pendeposit Tabung Haji.
  • Keluarnya Dewan selepas keputusan Yang Dipertua meneruskan sesi tanpa PM dikritik sebagai gagal melaksanakan tanggungjawab semak dan imbang.
  • RCI TH bukan milik mana-mana pemimpin atau parti; ia milik lebih 10 juta pendeposit yang perlu dilindungi maruahnya.

Beliau berkata, urusan Parlimen tidak seharusnya ‘terhenti’ hanya kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berada dalam keadaan tidak sihat.

“Kalau ada fakta yang hendak dibahaskan atau dibongkar, amat malang sekali apabila kita di pihak pembangkang yang paling lantang membawa nama Melayu-Islam memilih untuk memboikot perbahasan mengenai institusi yang sangat penting kepada golongan Melayu-Islam.

“Kita bukan memboikot Perdana Menteri, sebaliknya kita sedang memboikot amanah kita kepada jutaan pendeposit Tabung Haji,” katanya di Parlimen di sini hari ini.

Terdahulu, blok pembangkang kecuali Ahli Parlimen Bersatu bertindak meninggalkan Dewan Rakyat dan tidak mengambil bahagian dalam sesi penerangan berkenaan selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul untuk meneruskan sesi itu tanpa kehadiran Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, sidang Dewan Rakyat juga bukanlah ‘one men show’ atau membabitkan seorang individu semata-mata.

“Yang sakit ialah Perdana Menteri, tetapi kita pula yang tidak menjalankan tugas, sedangkan kita dibayar puluhan ribu ringgit, menerima gaji, pencen dan pelbagai elaun.

“Semua itu adalah untuk kita memainkan peranan sebagai semak dan imbang, tetapi kita gagal melaksanakan tanggungjawab berkenaan.

“Jelas, RCI TH bukan milik mana-mana Perdana Menteri dan bukan juga milik mana-mana parti.Realitinya, RCI ini adalah milik lebih 10 juta pendeposit umat Islam yang mengharapkan kita sebagai Ahli Parlimen memainkan peranan semak dan imbang serta mencari penyelesaian tuntas supaya nasib dan maruah mereka terbela,” katanya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.