
KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Kenaikan pangkat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan sekadar pengiktirafan, sebaliknya amanah besar yang perlu digalas dengan penuh kejujuran dan tanggungjawab.
- Penerima kenaikan pangkat mesti menjadi pemimpin berwibawa, berpandangan jauh, menjunjung integriti dan maruah pasukan.
- Sebanyak 29 pegawai kanan dinaikkan pangkat ke CP, DCP, SAC dan ACP.
- Tiga individu dianugerahkan pangkat kehormat bagi mengukuhkan jaringan strategik penguatkuasaan digital dan tadbir urus.
- Ketua Polis Negara mengingatkan warga PDRM berfikir kritis, bertindak pantas dan kekal relevan menghadapi cabaran kepolisan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail menegaskan, semakin tinggi pangkat yang disandang, semakin berat amanah yang perlu dipikul demi kesejahteraan masyarakat dan negara.
Jelasnya lagi, individu yang menerima kenaikan pangkat perlu tampil sebagai pemimpin berwibawa, berpandangan jauh serta menjunjung tinggi integriti dan maruah pasukan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemakaian Lencana Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Pemakaian Lencana Pangkat Kehormat di Mes Pegawai Kanan Polis, Bukit Aman, hari ini.
Seramai 29 pegawai kanan polis menerima kenaikan pangkat ke peringkat Komisioner Polis (CP), Deputi Komisioner Polis (DCP), Senior Asisten Komisioner (SAC) dan Asisten Komisioner Polis (ACP).
Dalam majlis sama, PDRM turut menganugerahkan pangkat kehormat kepada tiga individu, sebagai simbol pengukuhan jaringan strategik dalam aspek penguatkuasaan undang-undang digital, tatakelola dan tadbir urus.
Penerima ialah Datuk Ts. Dr. Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibuddeen yang dianugerahkan pangkat ACP Kehormat, manakala Aini Suraya Datuk Osman dan Adila Dato’ Abdullah masing-masing menerima pangkat DSP Kehormat.
Tan Sri Mohd Khalid turut mengingatkan warga PDRM supaya terus berfikir secara kritis, bertindak pantas dan kekal relevan dalam menghadapi perubahan dunia kepolisan yang semakin mencabar.
Beliau mahu kepercayaan dan tanggungjawab yang diberikan diterjemahkan kepada perubahan positif serta khidmat yang lebih bermakna kepada negara.