
SYDNEY, 11 Ogos – Australia dan Vietnam akan memperluas kerjasama pertahanan bagi mendepani cabaran pengaruh China yang kini semakin berkembang di Pasifik dan Laut China Selatan.
- Industri pertahanan dan angkatan bersenjata kedua negara akan meningkatkan kerjasama, termasuk latihan bersama.
- Lawatan berlangsung ketika kehadiran tentera China meningkat dan tuntutan bertindih di Laut China Selatan menimbulkan ketegangan.
- Beberapa perjanjian dimeterai untuk memperkukuh daya tahan ekonomi dan membuka semula akses pasaran daging buruan Australia.
Tentera kedua-dua negara akan menjalin kerjasama lebih rapat dalam aspek keselamatan maritim serta menjalani latihan bersama, susulan perbincangan antara Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese dengan pemimpin Vietnam, To Lam di Canberra.
“Industri pertahanan kami selain pasukan pertahanan kami akan meningkatkan kerjasama antara kedua-dua pihak, ” kata Albanese dalam ucapan alu-aluan semasa pertemuan tersebut.
“Ketidaktentuan dunia pada masa kini menjadikan hubungan antara negara sahabat di semua peringkat (sama ada) ekonomi, sosial dan alam sekitar lebih penting daripada sebelumnya bagi menangani cabaran yang kita hadapi,” katanya lagi.
Lawatan To Lam ke Australia berlangsung ketika kedua-dua negara berdepan dengan peningkatan kehadiran tentera China di rantau berkenaan.
Vietnam merupakan antara beberapa negara yang mengemukakan tuntutan bertindih di Laut China Selatan, yang hampir keseluruhannya dituntut oleh Beijing meskipun keputusan antarabangsa mendapati tuntutan tersebut tidak mempunyai asas undang-undang.
Pada Selasa, Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles memaklumkan, kerjasama yang semakin erat dengan Vietnam akan menyumbang secara langsung kepada kestabilan dan keselamatan rantau itu.
Pengumuman itu turut menyaksikan beberapa perjanjian antara Canberra dan Hanoi dimeterai, termasuk komitmen untuk memperkukuh daya tahan ekonomi, selain membuka semula akses pasaran bagi daging buruan Australia termasuk daging kanggaru ke Vietnam. – AFP