
HONG KONG, 11 Ogos – Harga minyak mentah dunia terus melonjak pada Selasa ketika harapan untuk melihat pembukaan semula Selat Hormuz semakin pudar.
- Harga minyak meningkat kira-kira 10 peratus sejak minggu lalu; rundingan AS-Iran masih belum mencapai kata sepakat.
- Trump menuntut pampasan dari Iran, menjadikan rundingan damai lebih sukar dan menambah ketegangan diplomatik.
- Kenaikan harga minyak membangkitkan kebimbangan inflasi dan meningkatkan jangkaan kadar faedah Rizab Persekutuan AS.
Sekali gus, mencetuskan kebimbangan baharu terhadap inflasi dan meningkatkan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) akan menaikkan kadar faedah sekurang-kurangnya sekali, tahun ini.
Harga minyak menyaksikan peningkatan kira-kira 10 peratus sejak minggu lepas dengan AS dan Iran dilihat masih belum mencapai kesepakatan berhubung laluan perdagangan strategik itu, meskipun terdapat kenyataan positif daripada White House, pada awal bulan ini.
Dalam perkembangan terbaharu, Presiden AS, Donald Trump berkata, beliau akan menuntut pampasan dari Iran atas konflik yang berlaku sebagai sebahagian daripada syarat mengadakan rundingan damai dengan merujuk kepada serangan dan pembunuhan sejak beberapa dekad lalu yang didakwa mendapat sokongan atau dilakukan oleh Tehran.
Pengumuman Trump itu sebagai respons kepada tuntutan Tehran agar AS membayar ganti rugi sebagai prasyarat kepada sebarang penyelesaian terhadap krisis berkenaan.
Kenyataan tersebut dikeluarkan sehari selepas Trump menyatakan beliau sedang mengambil pendekatan berhemah bagi menangani konflik tersebut, sambil memberi bayangan kesediaannya untuk membiarkan tekanan ekonomi terus meningkat agar Iran mengalah.
Bagaimanapun, perkembangan terbaharu itu berisiko menyebabkan kesepakatan segera semakin sukar dicapai, manakala kedua-dua kontrak minyak mentah utama melonjak sekitar lima peratus pada Isnin.
Kenaikan itu berterusan pada Selasa.
“Tanpa sebarang perkembangan positif mengenai rundingan untuk membuka semula laluan perairan itu, tekanan terhadap harga minyak kekal meningkat,” menurut Jason Wong dari BNZ.
Perkara itu turut dipersetujui pakar strategi global di Quintex Intel, Stephen Innes.
“Hakikatnya, kedua-dua pihak cuba menjadikan minyak sebagai senjata tanpa melepaskan satu lagi tembakan. Washington cuba menyekat keupayaan Iran untuk mengeksport minyak mentahnya, manakala Tehran pula mengetatkan laluan utama yang menjadi saluran kepada eksport minyak mentah negara-negara lain,” menurut beliau.
Jangkaan harga minyak akan kekal tinggi buat sementara waktu telah mengembalikan kebimbangan terhadap inflasi dan meningkatkan kemungkinan kenaikan kadar faedah. – AFP