Wanita mengamuk, pecahkan cermin kereta ditahan

Wanita berkenaan mempunyai kad OKU kategori mental dan menerima rawatan psikiatri di Hospital Kulim sejak 2012/ Foto BERNAMA

KULIM, 11 Ogos – Seorang wanita ditahan selepas dipercayai mengamuk dan merosakkan beberapa kenderaan menggunakan pisau di Taman Kemuning di sini, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejadian berlaku kira-kira pukul 10 malam ketika lelaki 29 tahun meletakkan kereta di bahu jalan untuk membeli burger.
  • Wanita didakwa memecahkan cermin belakang dan lampu belakang kereta menggunakan dua bilah pisau pemotong sayur.
  • Siasatan awal mendapati suspek mempunyai kad OKU kategori mental dan menerima rawatan psikiatri sejak 2012.
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Syamsul Sinring berkata, kejadian yang tular di media sosial itu berlaku kira-kira pukul 10 malam ketika seorang lelaki berusia 29 tahun meletakkan keretanya di bahu jalan untuk membeli burger di sebuah kedai berhampiran.

Secara tiba-tiba, wanita warga tempatan itu didakwa bertindak memecahkan cermin besar bahagian belakang dan lampu belakang kereta mangsa menggunakan dua bilah pisau pemotong sayur.

Suspek berjaya ditahan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim yang tiba di lokasi beberapa minit selepas kejadian.

Siasatan awal mendapati, wanita berkenaan mempunyai kad Orang Kurang Upaya (OKU) kategori mental dan menerima rawatan psikiatri di Hospital Kulim sejak 2012.

Kali terakhir suspek yang berusia 33 tahun mendapatkan rawatan adalah pada Jun lalu.

Suspek kemudiannya dibawa ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.