
SHAH ALAM, 10 Ogos – Keperluan asas dan peningkatan kualiti hidup penduduk di Wilayah Persekutuan wajar diberi tumpuan dalam Belanjawan 2027 yang dijadual dibentangkan Oktober ini.
- Utamakan menaik taraf PPR dan perumahan awam untuk keselesaan serta keselamatan penduduk
- Laksanakan penyelenggaraan jalan, penurapan dan usaha mitigasi banjir bagi keselamatan dan mobiliti
- Perkasa pewartaan kawasan lapang dan ruang awam berkualiti bagi gaya hidup sihat dan kesejahteraan warga
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, ini termasuk menaik taraf Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan perumahan awam, penyelenggaraan dan penurapan jalan serta usaha mitigasi banjir.
Jelasnya, langkah itu perlu diutamakan berbanding pelaksanakan projek-projek mega, bagi memastikan penduduk menikmati persekitaran hidup lebih selesa dan selamat.
“Untuk kita, selalunya fokus kita kembali kepada asas, bermaksud keperluan asas rakyat dijaga di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Kita juga berharap usaha mewartakan kawasan lapang terus diperkasakan tahun hadapan bagi menyediakan persekitaran yang menyokong gaya hidup sihat dan meningkatkan kualiti hidup penduduk,” katanya selepas melancarkan Program Pitstop Petron, di sini.
Menurut beliau, ruang awam yang berkualiti penting bukan sahaja kepada golongan yang masih bekerja, malah mereka yang sudah bersara.