Kai Wun-Roy King takluk Masters Korea

FOTO BAM

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Beregu lelaki negara, Tee Kai Wun-Yap Roy King menghadiahkan gelaran pertama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam acara beregu lelaki musim ini selepas menewaskan rakan senegara Man Wei Chong-Soh Wooi Yik dalam perlawanan akhir Masters Korea, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kai Wun-Roy King menewaskan Wei Chong-Wooi Yik 21-13, 21-18 di Masters Korea Super 300.
  • Kejayaan mengesahkan percubaan kombinasi baharu BAM bawah jurulatih Herry Iman Pierngadi mula membuahkan hasil.
  • Ia menjadi kejuaraan pertama mereka di Jelajah Dunia dan mengulangi sejarah Malaysia di Masters Korea.

Kai Wun-Roy King tampil kemas untuk menundukkan Wei Chong-Wooi Yik 21-13, 21-18 pada kejohanan berstatus Super 300 itu, sekali gus membuktikan kemampuan gandingan baharu negara di pentas Jelajah Dunia.

Kejayaan itu hadir ketika BAM giat melakukan rombakan dan menguji beberapa kombinasi baharu bawah kendalian jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi, dalam usaha mengenal pasti gandingan terbaik bagi menghadapi saingan akan datang.

Kai Wun-Roy King antara pasangan yang diberi peluang dalam eksperimen berkenaan dan kejayaan di Masters Korea menjadi petunjuk awal bahawa percaturan tersebut mula membuahkan hasil.

Gelaran itu juga cukup bermakna buat Kai Wun-Roy King apabila ia menjadi kejuaraan pertama mereka di Jelajah Dunia, selain mengulangi sejarah Malaysia di Masters Korea selepas Soh Wooi Yik bersama gandingan asalnya, Aaron Chia, muncul juara pada 2024.

Malah, dua kejuaraan itu merupakan satu-satunya gelaran beregu lelaki Malaysia di Masters Korea sejak kejohanan berkenaan mula dianjurkan pada 2007.

Sebelum ini, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang berstatus profesional menjadi satu-satunya gandingan lelaki Malaysia yang memenangi gelaran musim ini selepas masing-masing muncul juara Masters Indonesia pada Januari dan Terbuka Indonesia pada Jun.

Kejayaan Kai Wun-Roy King turut memberikan suntikan keyakinan kepada barisan beregu lelaki negara ketika Herry terus mencari kombinasi terbaik bagi memperkukuh skuad menjelang kejohanan-kejohanan utama akan datang.

Kai Wun-Roy King membawa pulang hadiah wang tunai AS$19,750 (RM80,800), manakala Wei Chong-Wooi Yik menerima AS$9,500 (RM38,900) sebagai naib juara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.