Kenderaan dipandu warga asing: ‘Bukan kereta rasmi jabatan’

Tular di media sosial warga asing didakwa memandu kenderaan yang menggunakan logo Jabatan Imigresen

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Kenderaan yang didakwa milik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan dipandu seorang individu warga asing seperti yang tular di media sosial baru-baru ini, disahkan bukan aset rasmi jabatan berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • JIM memandang serius penggunaan logo pada kenderaan yang boleh menimbulkan kekeliruan dan salah tanggapan.
  • Siasatan sedang dijalankan untuk kenal pasti individu terlibat serta tujuan penggunaan logo.
  • Tindakan undang-undang akan diambil jika berlaku pelanggaran, JIM tidak akan berkompromi terhadap penyalahgunaan logo atau identiti Jabatan.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, JIM mengambil maklum mengenai hantaran tular yang memaparkan kenderaan berkenaan menggunakan logo JIM.

Beliau berkata, jabatan itu memandang serius penggunaan logo JIM pada kenderaan terbabit kerana boleh menimbulkan kekeliruan dan salah tanggapan dalam kalangan masyarakat.

“Sehubungan itu, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terlibat serta tujuan penggunaan logo JIM pada kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria berkata, tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa sekiranya terdapat sebarang pelanggaran.

“JIM tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan logo atau identiti Jabatan yang boleh mengelirukan orang ramai atau menjejaskan imej dan integriti Jabatan,” katanya.

Beliau berkata, JIM menghargai keprihatinan orang ramai berhubung perkara itu dan memastikan siasatan dilaksanakan dengan sewajarnya.

Terdahulu, video berdurasi 12 saat tular di platform Threads yang memaparkan sebuah kenderaan menggunakan logo JIM dan didakwa dipandu oleh seorang individu warga asing.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.