
NAIROBI, 7 Ogos – Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Afrika mengumumkan penggunaan vaksin bagi Ebola untuk membendung wabak terbaharu yang semakin buruk di Republik Demokratik Congo.
- Ebola telah meragut lebih 1,800 nyawa daripada hampir 4,000 kes yang disahkan di DR Congo.
- Varian Bundibugyo merebak ke lima wilayah timur dan timur laut, mempercepat usaha membangunkan vaksin khusus.
- Penggunaan remdesivir diperluaskan merujuk kejayaan Uganda; Uganda rekod 20 kes, dua kematian, diisytihar bebas pertengahan Julai.
Virus Ebola yang merebak menerusi sentuhan dengan cecair badan dan menyebabkan demam berdarah, telah meragut lebih 1,800 nyawa daripada hampir 4,000 kes yang disahkan di DR Congo sejak pihak berkuasa mengisytiharkan wabak itu secara rasmi pada 15 Mei lalu.
Varian Bundibugyo telah merebak ke lima wilayah di timur dan timur laut negara itu yang kaya dengan sumber mineral tetapi dilanda konflik, sekali gus mendorong saintis mempercepat usaha membangunkan vaksin khusus bagi varian baharu itu.
Menurut CDC Afrika, ia akan menggunakan vaksin yang dibangunkan untuk Ebola Zaire, iaitu jenis Ebola paling membawa maut yang diketahui, setakat ini.
Ketua Pengarah CDC Afrika, Jean Kaseya memaklumkan, walaupun individu yang menerima vaksin terhadap Ebola Zaire mengalami beberapa gejala, tiada kematian direkodkan dalam kalangan mereka yang telah divaksinasi.
“Ini menunjukkan terdapat tahap perlindungan yang diberikan oleh vaksin,” katanya dalam sidang media secara dalam talian.
Beliau berkata, vaksin itu akan ditawarkan kepada semua penduduk di wilayah timur Ituri dan North Kivu.
Bagaimanapun, Kaseya tidak menyatakan jumlah dos vaksin yang tersedia untuk program berkenaan.
Pihaknya turut akan memperluaskan penggunaan ubat antivirus remdesivir, dengan merujuk kepada kejayaan Uganda membendung wabak Ebola.
“Jika kadar kematian akibat Ebola di Uganda hanya sekitar 10 peratus, ia sebahagian besarnya kerana mereka menggunakan remdesivir,” ujar beliau.
Pada pertengahan Julai, Uganda menyisytiharkan negara itu bebas daripada wabak Ebola selepas pesakit terakhir dibenarkan keluar dari hospital setelah pulih.
Kementerian Kesihatan Uganda memaklumkan negara itu merekodkan 20 kes Ebola yang disahkan, dengan dua pesakit meninggal dunia, manakala semua pesakit lain berjaya pulih. – AFP