Selangor berhasrat tingkatkan jumlah penerima HPIPT 5,000 pelajar pada 2027

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari / Foto RTM

SHAH ALAM, 6 Ogos – Kerajaan Negeri Selangor berhasrat meningkatkan jumlah penerima bagi Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT) kepada 5,000 pelajar pada tahun hadapan
berbanding 3,000 penerima, tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Permohonan HPIPT 2025 dan 2026 melebihi 5,000, menunjukkan permintaan tinggi dalam kalangan pelajar Selangor.
  • Kerajaan Negeri menilai kemampuan kewangan untuk menambah penerima melalui Belanjawan Selangor 2027, dengan sasaran antara 5,000 hingga 6,000 pelajar.
  • Mempertimbangkan melanjutkan tempoh permohonan yang kini singkat, kerana dibuka sebelum pengesahan kemasukan dan cuma diberi dalam sebulan.
  • Pertimbangkan membuka permohonan dua kali setahun bagi memberi peluang lebih luas kepada pelajar mendaftar pada sesi berbeza.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata cadangan itu dibuat susulan permohonan HPIPT bagi 2025 dan 2026 masing-masing melebihi 5,000 permohonan, sekali gus menunjukkan permintaan yang tinggi dalam kalangan pelajar Selangor.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga sedang menilai kemampuan kewangan negeri bagi meningkatkan jumlah penerima dengan sasaran antara 5,000 hingga 6,000 pelajar menerusi Belanjawan Selangor 2027.

“Perkara kedua sedang dipertimbangkan mengenai tempoh masa permohonan yang dikatakan sekarang ini agak singkat.

“Permohonan lazim dibuka sebelum pelajar mendapat pengesahan kemasukan ke institusi pengajian tinggi dan tempoh masa diberi dalam sebulan. Mungkin kita boleh melanjutkannya pada masa akan datang,” katanya.

Selain itu katanya lagi, permohonan HPIPT juga dipertimbang untuk dibuka dua kali setahun bagi memberi peluang lebih luas kepada pelajar yang mendaftar pengajian pada sesi berbeza.

HPIPT merupakan bantuan berjumlah RM1,000 kepada anak Selangor yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang diiktiraf, melibatkan peringkat Sijil Kemahiran Tahap 4, diploma dan ijazah sarjana muda.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh ADUN Bukit Melawati, Datuk Noorazley Yahya mengenai skim HPIPT di Sidang Dewan Negeri Selangor di sini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.