PolyCC Skills Tali Tinggi cungkil bakat baharu ke pentas antarabangsa

Foto RTM

PUTRAJAYA, 5 Ogos – Pertandingan Kemahiran Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC Skills) bidang Tali Tinggi edisi ketiga terus menjadi platform utama mencungkil bakat baharu bagi mewakili negara ke pertandingan kemahiran di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anjuran JPPKK dengan Kolej Komuniti Sungai Siput memberi tumpuan kepada sukan ekstrem dan kemahiran tali tinggi.
  • Bidang tali tinggi gabungkan kecergasan fizikal dan kemahiran teknikal, serta bernilai komersial dalam pelancongan dan rekreasi.
  • Peserta dinilai melalui empat modul: ikatan dan simpulan, penambat keselamatan abseiling, pengurusan tali, serta kecekapan memanjat dan menurun.
  • Penilaian ikut piawaian antarabangsa menekankan ketepatan teknikal, pematuhan keselamatan dan ketahanan mental; penganjur mahu tingkatkan kejohanan ke peringkat kebangsaan.

Kejohanan anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dengan kerjasama Kolej Komuniti Sungai Siput (KKSS) itu memberi tumpuan kepada sukan ekstrem dan kemahiran tali tinggi, serta disertai 18 pelajar daripada politeknik dan kolej komuniti di seluruh negara.

Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar JPPKK, Azirin Abdul Aziz berkata, bidang tali tinggi mempunyai keunikan tersendiri kerana menggabungkan elemen kecergasan fizikal dan kemahiran teknikal, selain menawarkan nilai komersial yang tinggi dalam industri pelancongan dan rekreasi.

“Apabila kita bercakap mengenai pertandingan kemahiran, kebiasaannya ia dikaitkan dengan bidang seperti kejuruteraan atau perkhidmatan.

“Namun, kemahiran tali tinggi juga merupakan satu bidang yang penting, khususnya kepada pelajar yang mengikuti program rekreasi dan pelancongan,” katanya ketika ditemui pada kejohanan itu di sini.

Sementara itu, Ketua Jurulatih acara Tali Tinggi, Mohd Shafiee Hassan berkata, semua peserta perlu melengkapkan empat modul yang mencabar dan dinilai oleh barisan juri profesional.

Menurut beliau, modul berkenaan merangkumi ikatan dan simpulan berantai (Modul A), penambat keselamatan untuk aktiviti abseiling (Modul B), pengurusan tali (Modul C), serta kecekapan memanjat dan menurun (ascent & descent) menerusi Modul D.

Katanya, penilaian dilaksanakan mengikut piawaian antarabangsa dengan penekanan terhadap ketepatan teknikal, pematuhan aspek keselamatan serta ketahanan mental peserta ketika melaksanakan tugasan di kawasan tinggi.

Beliau turut memaklumkan bahawa penganjur sedang berusaha mengangkat kejohanan itu ke peringkat kebangsaan sebagai usaha memperkasakan pembangunan bakat dalam bidang tali tinggi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.