
Alor Setar, 5 Ogos – Seramai 81 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan menerusi Ops Sapu yang dijalankan di sebuah tapak pembinaan di Kuala Kedah, di sini.
- Operasi disertai pegawai Unit Tindakan Imigresen Negeri Kedah berdasarkan risikan dan maklumat orang awam.
- Pemeriksaan melibatkan warga tempatan dan asing; ramai ditahan untuk siasatan lanjut.
- Kes disyaki melibatkan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
- Saman Kepada Saksi (Borang 29) dikeluarkan; semua yang ditahan dibawa ke pejabat imigresen negeri untuk dokumentasi.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kedah dalam satu kenyataan memaklumkan, Operasi tersebut disertai 19 pegawai Unit Tindakan Imigresen, Bahagian Penguatkuasa JIM Negeri Kedah, hasil risikan dan maklumat awam.
“Pemeriksaan telah dijalankan ke atas 127 orang yang terdiri daripada warga tempatan dan asing. Hasil operasi tersebut, seramai 81 PATI berjaya ditahan untuk siasatan lanjut.
Mereka terdiri daripada 73 lelaki dan lapan wanita, melibatkan 42 warga Bangladesh, 10 warga Myanmar, 26 warga Indonesia, seorang warga Pakistan dan dua warga India.” Menurut kenyataan tersebut.
Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk memasuki dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah, tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan serta melanggar syarat-syarat pas
yang telah dikeluarkan.
Dalam operasi yang sama, satu Saman Kepada Saksi (Borang 29) turut dikeluarkan dalam operasi sama bagi membantu siasatan.
Kesemua PATI yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Negeri Kedah untuk proses dokumentasi bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.