
GUA MUSANG, 4 Ogos – Lebih 1,000 penduduk Orang Asli di kawasan Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Pasik menerima manfaat Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) yang julung kali diadakan di penempatan berkenaan.
- Pelaksanaan PJRM di kawasan pedalaman memudahkan penduduk mendapatkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan.
- Program membolehkan penduduk menebus baki Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang terkumpul kerana sukar ke bandar.
- Perbelanjaan tinggi untuk ke bandar termasuk sewaan kenderaan sekitar RM400 menyukarkan pembelian keperluan.
- ADUN Nenggiri menggesa KPDN meneruskan program supaya bantuan kerajaan sampai dan dimanfaatkan sepenuhnya.
Pelaksanaannya di kawasan pedalaman itu memudahkan penduduk mendapatkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan.
Pada masa sama, menebus baki Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang terkumpul kerana berdepan kekangan untuk ke bandar kerana jarak perjalanan jauh dan kos pengangkutan tinggi.
Penduduk Orang Asli, Ramli Chimbong berkata, mereka kebiasaannya perlu memperuntukkan sehingga RM600, termasuk kira-kira RM400 bagi sewaan kenderaan, untuk ke bandar.
“Kalau kita keluar ke Gua Musang, sewa kereta sahaja RM400. Kalau duit ada RM500 atau RM600, memang tidak cukup untuk membeli keperluan.
“Kalau jualan seperti ini dibuat di kampung, kita dapat berjimat dan harganya juga berpatutan,” katanya.
Peniaga yang terlibat dalam PJRM, Sabariah Mohamed Sayuti berkata, ini pertama kali pihaknya membawa program berkenaan ke RPS Pasik.
Menurutnya, sebelum ini penduduk perlu mengambil masa kira-kira dua jam setengah untuk ke kedainya di Kampung Jerek bagi mendapatkan barangan keperluan dan menebus SARA.
“Ada penduduk yang mempunyai baki SARA terkumpul RM300, RM500 dan sehingga RM800. Jarang kami temui baki hanya RM100,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meneruskan program berkenaan.
Ini bagi memastikan bantuan kerajaan dapat disampaikan dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh kumpulan sasaran.