
KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Golongan belia perlu terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh amalan demokrasi negara dengan mengamalkan budaya politik yang matang, berhemah serta berlandaskan fakta sahih.
- Penglibatan belia mesti melampaui sekadar mengundi; menjadi warga celik maklumat, rasional dan menghormati kepelbagaian pendapat.
- Setiap pandangan perlu berasaskan fakta tepat dan disalurkan melalui saluran betul, termasuk menghubungi wakil rakyat.
- Di media sosial, berhemah dalam percakapan; elakkan mengutuk atau menghina demi politik matang.
- Nilai prestasi pentadbiran mengikut pematuhan Perlembagaan, kedaulatan undang-undang, tadbir urus telus, integriti dan keberkesanan.
Mahasiswa Program Pra Undang-Undang Universiti Teknologi MARA (UiTM), Muhammad Niyazuddin Nasarudin berkata, penglibatan belia dalam proses demokrasi tidak seharusnya terhad kepada tanggungjawab sebagai pengundi, sebaliknya perlu disertai kesedaran sebagai warga yang celik maklumat, rasional dan menghormati kepelbagaian pandangan.
“Golongan muda perlu memastikan setiap pandangan yang disuarakan berasaskan fakta yang tepat serta disalurkan melalui saluran yang betul, termasuk berhubung terus dengan wakil rakyat.
“Mereka perlu meneliti fakta dan bercakap berasaskan perkara yang betul. Janganlah berasaskan fakta yang tidak sahih. Apabila mendapat fakta, salurkannya melalui saluran yang betul, terus kepada wakil rakyat itu sendiri.
“Di media sosial pula, berhemahlah dalam berkata-kata. Jangan mengutuk sesiapa kerana itulah politik yang matang sebagai anak muda,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di RTM.
Beliau berkata, perkembangan politik semasa memberi peluang kepada golongan muda untuk memahami dinamika demokrasi negara secara lebih dekat, selain membentuk pemikiran kritikal dalam menilai sesuatu isu.
Mengulas lanjut, Muhammad Niyazuddin berkata, prestasi sesebuah pentadbiran perlu dinilai berdasarkan pematuhan terhadap Perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta keupayaan melaksanakan tadbir urus yang telus, berintegriti dan berkesan demi kepentingan rakyat.
Katanya, pendekatan sedemikian bukan sahaja dapat meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap institusi demokrasi, malah membantu membentuk budaya politik yang lebih beradab dalam kalangan generasi muda.